Wan Saiful: Tangguh Dulu Operasi Agensi Kutip Hutang PTPTN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diminta menangguhkan sementara operasi agensi kutipan hutang yang dilantik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga prosedur operasi standard (SOP) yang lebih adil dan jelas diwujudkan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu penting bagi memastikan proses kutipan hutang tidak menekan peminjam, selain mengelakkan kemungkinan penyalahgunaan maklumat peribadi mereka.

Menurutnya, beliau menerima ratusan maklum balas daripada peminjam selepas meminta mereka berkongsi pengalaman berurusan dengan agensi kutipan hutang berkenaan menerusi akaun media sosialnya.

“Ada yang kata caj 15 peratus yang dikenakan oleh agensi itu membebankan mereka. Ada yang kata mereka tertekan apabila agensi bertubi-tubi menghubungi mereka.

“Ada juga yang menceritakan bagaimana mereka berhadapan dengan tekanan mental kerana merasa seolah-olah diugut oleh agensi-agensi ini. Takkanlah PTPTN nak jadi macam ah long,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Wan Saiful yang pernah diberi amanah sebagai Pengerusi PTPTN berkata, beliau tidak menolak usaha mendapatkan semula bayaran pinjaman pendidikan yang tertunggak, namun kaedah kutipan perlu dilaksanakan secara berhemah dan mempunyai kawalan yang jelas.

Menurutnya, ketika menerajui PTPTN, beliau turut mempertimbangkan cadangan penggunaan agensi kutipan hutang, tetapi tidak meluluskannya kerana kurang berpuas hati dengan SOP yang dicadangkan serta kadar caj yang mahu dikenakan.

“Jadi, saya tidak menolak usaha untuk kita mengutip kembali hutang. Hutang perlu dibayar, itu betul.

“Tetapi kaedah itu mestilah baik dan kawalannya mestilah jelas, tidak membuka ruang kepada penyalahgunaan, tidak menzalimi dan tidak menekan para peminjam,” katanya.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai keselamatan data peribadi peminjam PTPTN apabila maklumat mereka dikongsi dengan agensi swasta, termasuk risiko data berkenaan disalahgunakan atau dijual kepada pihak lain.

Sehubungan itu, Wan Saiful meminta KPT menyemak semula SOP yang digunakan oleh agensi kutipan hutang berkenaan dan menangguhkan operasi mereka sementara mekanisme yang lebih adil kepada peminjam diwujudkan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa ketika dilantik sebagai Pengerusi PTPTN, beliau diberi amanah melaksanakan empat perkara utama, termasuk memberikan pelepasan bayaran balik kepada peminjam cemerlang daripada keluarga B40 dan M40 serta memansuhkan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang disenaraihitamkan.

Katanya, kedua-dua perkara itu berjaya dilaksanakan, selain insentif kepada majikan yang membantu membayar balik pinjaman PTPTN pekerja mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa perancangan untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman bagi peminjam berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan pernah dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun, katanya, pertukaran kerajaan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, selain penularan pandemik Covid-19, menyebabkan perkara itu tidak lagi menjadi keutamaan ketika itu.

Wan Saiful menegaskan, usaha memastikan peminjam melunaskan hutang pendidikan perlu diseimbangkan dengan perlindungan hak mereka, termasuk daripada kaedah kutipan yang membebankan serta risiko terhadap keselamatan maklumat peribadi.

BBerkaitan

Latest articles