Zahid Nasihatkan 18 Adun BN Tidak Campuri Krisis Institusi Diraja Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: Semua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan dinasihatkan supaya tidak mencampuri kemelut berkaitan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta institusi diraja negeri itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan isu perundangan dan institusi diraja perlu dipisahkan daripada urusan pentadbiran kerajaan negeri bagi mengelakkan kedua-dua perkara itu terus bercampur sehingga menjejaskan kelancaran pemerintahan.

Beliau berkata, pendirian itu turut menjadi asas kepada nasihatnya kepada semua wakil rakyat BN supaya tidak mengambil bahagian dalam perkara berkaitan DKU dan institusi diraja.

“Pendirian kita ialah kita mesti memisahkan permasalahan undang-undang dan juga institusi diraja dengan masalah pentadbiran kerajaan.

“Sebab itu nasihat saya kepada Adun-adun kita supaya tidak lagi campur tangan dalam soal-soal DKU dan juga institusi-institusi diraja,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Dalam perkembangan sama, Presiden UMNO itu menggesa pihak yang tidak bersama kerajaan negeri supaya bekerjasama dengan Adun kerajaan bagi memastikan urusan pentadbiran terus berjalan tanpa gangguan.

Katanya, kerajaan Negeri Sembilan ketika ini sedang menyediakan draf Belanjawan Negeri 2027 untuk dibentangkan, meskipun berdepan situasi tanpa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Walaupun kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai Exco ketika ini, tetap menyediakan draf bagi pembentangan belanjawan negeri,” katanya.

Zahid menegaskan, rakyat yang memberikan mandat kepada kerajaan negeri mengharapkan pentadbiran yang stabil dan berfungsi, bukannya sebuah kerajaan tergantung yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

Menurutnya, agensi serta jentera kerajaan perlu terus beroperasi seperti biasa, malah meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut mengingatkan supaya manifesto yang dijanjikan kepada rakyat diterjemahkan kepada pelaksanaan, manakala masalah yang timbul perlu ditangani dengan sebaik-baiknya.

“Mereka mahu agensi dan jentera kerajaan berjalan seperti biasa atau bertambah baik. Yang penting, manifesto harus diterjemahkan pelaksanaannya dan permasalahan yang ada didepani dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Kemelut politik dan institusi diraja Negeri Sembilan sebelum ini mencetuskan perhatian susulan insiden membabitkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah.

Pada 14 Oktober lalu, Raja-raja Melayu turut menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis institusi takhta Yang Dipertuan Besar yang sedang dihadapi negeri itu.

Sebaliknya, usaha mencari penyelesaian perlu diserahkan kepada pihak berkepentingan dan berautoriti melalui saluran yang sah, tertib serta berwibawa.

BBerkaitan

Latest articles