Tambang ECRL Gombak–Kota Bharu Bermula RM125, Ekspres RM147

GOMBAK: Tambang kelas Ekonomi bagi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu ditetapkan bermula RM125 sehala untuk Transit dan RM147 bagi Ekspres, menjelang operasi komersial yang disasarkan bermula pertengahan Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata pelaksanaan tambang berasaskan mekanisme dinamik itu diluluskan Jemaah Menteri pada 16 Oktober lalu.

Beliau berkata, kadar berkenaan mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat, nilai perkhidmatan yang ditawarkan serta kemampanan operasi ECRL dalam jangka panjang.

“Melalui mekanisme ini, harga tiket boleh berubah mengikut faktor seperti waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk, sekali gus memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk merancang perjalanan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Darwis, bagi perjalanan Gombak–Kuala Terengganu sejauh 378 kilometer, tambang kelas Ekonomi bermula RM95 untuk Transit dan RM110 bagi Ekspres.

Perjalanan Gombak–KotaSAS sejauh 209 kilometer pula ditawarkan pada kadar permulaan RM60 bagi Transit dan RM68 untuk Ekspres.

Katanya, kadar tambang permulaan yang sama turut terpakai bagi perjalanan arah sebaliknya.

Perkhidmatan Transit akan berhenti di setiap stesen yang dijadualkan, manakala Ekspres memberikan tumpuan kepada empat stesen utama, iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

Darwis berkata, perjalanan Ekspres dari Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 kilometer dijadualkan mengambil masa sekitar empat jam, berbanding sehingga lima jam bagi Transit.

Bagi laluan Gombak–Kuala Terengganu, tempoh perjalanan Ekspres dijadualkan dua jam 54 minit, manakala Transit tiga jam 51 minit.

Perjalanan Ekspres dari Gombak ke KotaSAS pula dijangka mengambil masa satu jam 27 minit, berbanding dua jam lima minit bagi Transit.

Dalam pada itu, beliau berkata Jemaah Menteri turut meluluskan diskaun 50 peratus kepada kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara kerajaan.

Pelajar berumur 13 hingga 24 tahun pula akan menikmati diskaun sebanyak 40 peratus.

Darwis berkata, penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan bermula pada pertengahan November ini.

Operasi komersial penumpang bagi laluan Gombak–Kota Bharu pula disasarkan bermula pertengahan Disember, tertakluk kepada penyempurnaan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.

Pada peringkat permulaan, sebanyak 10 set tren Electric Multiple Unit (EMU) akan digunakan dengan kelajuan operasi sehingga 160 kilometer sejam bagi menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Menurutnya, ECRL akan menyediakan 12 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis, membabitkan enam perjalanan bagi setiap arah.

Kekerapan itu akan ditingkatkan kepada 16 perjalanan sehari dari Jumaat hingga Ahad, bersamaan lapan perjalanan bagi setiap arah.

Secara keseluruhan, sekitar 2.2 juta tempat duduk dirancang disediakan sepanjang 2027.

Beliau berkata, tren ECRL menawarkan pilihan kelas Ekonomi, Ekonomi Premium dan Perniagaan, dengan kapasiti sehingga 425 penumpang bagi konfigurasi Ekonomi dan Ekonomi Premium, atau 409 penumpang bagi konfigurasi yang turut merangkumi kelas Perniagaan.

Antara kemudahan disediakan ialah rak bagasi, kaunter makanan dan minuman, bilik solat, tempat duduk khas OKU serta rangkaian internet 4G/5G dan WiFi.

Perkhidmatan ECRL akan dikendalikan ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB), yang bertanggungjawab terhadap pengoperasian serta penyelenggaraan, manakala MRL kekal sebagai pemilik projek dan aset.

Darwis berkata, manfaat ECRL perlu dilihat melangkaui hasil tambang dan jumlah penumpang kerana projek itu turut berpotensi memperluas peluang ekonomi serta memperkukuh hubungan antara Pantai Timur dengan Lembah Klang.

“Kejayaan sebenar ECRL bukan hanya apabila tren pertama memulakan perjalanan, tetapi apabila perkhidmatan ini dapat menjimatkan masa rakyat, memperluas peluang ekonomi dan menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat untuk generasi akan datang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles