KOTA DAMANSARA: Penganjuran Deepavali Fest 2026 di Strand Mall di sini menjadi platform untuk memperkenalkan budaya dan tradisi masyarakat India, selain mengeratkan hubungan komuniti berbilang kaum menerusi pelbagai aktiviti kebudayaan dan hiburan.
Ketua Pemasaran ASC Agenda Suria Communication Sdn Bhd, Vithya Shaline berkata festival itu bertujuan menghidupkan semangat Deepavali yang melambangkan cahaya, harapan dan kebersamaan, di samping menyediakan ruang untuk rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang mengenali serta menghargai budaya India.
Beliau berkata festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 Oktober itu menawarkan pelbagai pengalaman kepada pengunjung, termasuk persembahan tradisional, aktiviti interaktif, jualan runcit serta aneka hidangan menerusi Spice & Sizzle Indian Food Bazaar.
“Melalui festival ini, kami berharap dapat mewujudkan ruang mesra yang membolehkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang mengenali dan menghargai budaya India.
“Kami juga mahu keluarga dan rakan-rakan meluangkan masa berkualiti bersama-sama, di samping memastikan tradisi terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Festival anjuran ASC Agenda Suria Communication Sdn Bhd itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa Dr Gunarajah R George.
Penganjuran tahun ini menghimpunkan 110 peniaga dengan jumlah kehadiran pengunjung disasarkan mencecah 40,000 orang sepanjang tiga hari festival berlangsung.
Vithya berkata festival itu turut memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mempamerkan produk mereka, meluaskan capaian pelanggan dan memanfaatkan peluang perniagaan sepanjang musim perayaan.
Menurutnya, platform seumpama itu bukan sahaja merancakkan aktiviti ekonomi setempat, malah membolehkan usahawan memperkenalkan produk mereka kepada kumpulan pelanggan yang lebih luas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Encorp Berhad Ahmad Harzimi Mohd Taib berkata pusat beli-belah kini memainkan peranan lebih besar daripada sekadar destinasi membeli-belah, sebaliknya menjadi ruang untuk komuniti berkumpul dan menyertai pelbagai aktiviti.
Beliau berkata Strand Mall komited menyediakan persekitaran terbuka dan mesra komuniti di Kota Damansara serta bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menganjurkan program yang membawa nilai kepada masyarakat.










