KUALA LUMPUR: Mahmud Epah dinamakan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak dalam penstrukturan semula kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri itu menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Pimpinan Cabang KEADILAN Sarawak bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Oktober.
Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Fuziah Salleh berkata, mesyuarat berkenaan turut menetapkan beberapa perkara penting bagi memperkukuh persiapan parti menghadapi pilihan raya negeri yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
Menurutnya, tumpuan utama parti ketika ini adalah terhadap strategi dan gerak kerja pilihan raya sebagai sebahagian daripada persiapan menyeluruh menghadapi PRU DUN Sarawak ke-13.
“Mesyuarat menegaskan bahawa tumpuan utama adalah kepada strategi dan gerak kerja pilihan raya sebagai rangka persiapan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Nazib Johari akan terus memainkan peranan memperkukuh hubungan antara Kerajaan Pusat dengan Sabah dan Sarawak.
Fuziah berkata, peranan itu selaras dengan fokus parti untuk memperkukuh jaringan politik di kedua-dua wilayah berkenaan.
Penstrukturan semula kepimpinan negeri itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha KEADILAN memperkemas organisasi dan meningkatkan kesiapsiagaan parti menjelang pilihan raya negeri Sarawak akan datang.










