‘Letak Jawatan Dan Bertaubat’ – Peguam Desak Ismail Berundur Selepas Ditegur Tuanku Muhriz

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim digesa meletakkan jawatan susulan teguran terbuka Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ketika kemelut institusi diraja negeri itu terus mencetuskan kontroversi.

Gesaan itu disuarakan peguam, Rosli Dahlan yang menyifatkan tindakan Ismail dalam krisis berkenaan sebagai sesuatu yang menjejaskan maruah serta kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Menurut Rosli, teguran yang dizahirkan Tuanku Muhriz itu sepatutnya menjadi isyarat jelas kepada Ismail untuk berundur daripada jawatan yang disandangnya.

“Letak jawatan dan bertaubat — ini sekurang-kurangnya apa yang Ismail boleh lakukan untuk menebus maruahnya,” katanya sebagaimana memetik laporan FMT.

Rosli mendakwa tindakan Ismail menandatangani dokumen berkaitan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz, selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan baginda pada 2 Ogos lalu, menimbulkan persoalan serius mengenai pendiriannya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Ismail yang didakwa membuat laporan polis dengan mendakwa tandatangannya pada dokumen berkenaan diperoleh secara paksaan, sebelum barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengeluarkan kenyataan mengesahkan proklamasi itu.

Menurut Rosli, percanggahan tindakan tersebut wajar disiasat dari sudut undang-undang, termasuk dakwaan berkaitan pemberian maklumat palsu dan laporan polis palsu.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan merupakan pandangan Rosli dan sebarang kesalahan jenayah perlu ditentukan melalui proses undang-undang.

Kontroversi itu kembali menjadi perhatian selepas rakaman video memaparkan Tuanku Muhriz menegur Ismail tersebar di media sosial.

Dalam rakaman tersebut, baginda mempersoalkan tujuan Menteri Besar itu mahu menghadap baginda, sambil menegaskan Ismail tidak sepatutnya datang selagi belum menarik balik kenyataan terdahulu.

Ismail kemudiannya dilihat hanya mengangkat sembah ketika Tuanku Muhriz menyuarakan teguran berkenaan.

Kemelut itu berpunca daripada tindakan empat individu yang mendakwa mereka sebagai Undang mengumumkan penurunan takhta Tuanku Muhriz, selain mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu.

Pada September lalu, Ismail mengesahkan barisan Exco kerajaan negeri membuat keputusan secara sebulat suara untuk mengiktiraf proklamasi berkenaan, sekali gus mencetuskan pertikaian mengenai kesahan tindakan tersebut.

Ismail sebelum itu turut mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkaitan proklamasi berkenaan dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Susulan perkembangan tersebut, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan keseluruhan barisan Exco kerajaan negeri.

Krisis berkenaan kini menjadi pertikaian serius berkaitan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar.

BBerkaitan

Latest articles