KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman yang difailkan Datuk Dr Adnan Mat bersama tiga pemohon lain berhubung keputusan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) mengenai kesahan undi sulit Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Keputusan itu dibuat pada 13 Oktober lalu, dengan mahkamah turut memerintahkan pemohon membayar kos sebanyak RM3,000 kepada pihak responden.
Setiausaha Agung Caretaker CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, perkembangan itu dimaklumkan menerusi surat daripada firma guaman Francis Pereira & Shan, hari ini.
Menurutnya, penolakan permohonan berkenaan dibuat pada peringkat mendapatkan kebenaran atas alasan prosedur, termasuk kewujudan saluran rayuan khusus kepada Menteri di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.
Beliau berkata, mahkamah tidak meneruskan perkara itu ke peringkat pendengaran penuh dan tidak membuat keputusan mengenai merit pertikaian terhadap keputusan Ketua Pengarah JHEKS.
“Keputusan Ketua Pengarah JHEKS bertarikh 2 Mac 2026 yang mengisytiharkan undi sulit CUEPACS pada 10 Disember 2025 sebagai tidak sah kekal berkuat kuasa susulan penolakan permohonan kebenaran semakan kehakiman tersebut,” menurut pemakluman berkenaan.
Dalam perkembangan sama, surat firma guaman itu menjelaskan bahawa perintah interim yang sebelum ini menggantung pelaksanaan keputusan JHEKS berkenaan akan luput susulan penolakan permohonan tersebut.
Abdul Rahman berkata, berdasarkan penjelasan firma guaman, tiada perintah mahkamah yang menghalang CUEPACS daripada melaksanakan undian semula ketika ini.
Sehubungan itu, semua kesatuan gabungan CUEPACS diminta mengambil maklum perkembangan berkenaan bagi memahami kedudukan semasa proses pemilihan organisasi itu.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang maklumat lanjut mengenai proses undian semula, tatacara pelaksanaan dan perkara berkaitan pemilihan hendaklah dirujuk kepada pengumuman rasmi CUEPACS serta ketetapan pihak berkuasa berkenaan.
Menurutnya, semua pihak juga diminta memastikan maklumat yang disampaikan kepada ahli masing-masing tepat, berasaskan fakta dan tidak menimbulkan kekeliruan mengenai status semasa CUEPACS.
Pemakluman itu bertujuan memastikan semua kesatuan gabungan memperoleh maklumat yang seragam dan jelas berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta kedudukan pelaksanaan undian semula.
“Kerjasama dan perhatian semua kesatuan gabungan amat dihargai demi memastikan kepentingan ahli serta kelangsungan proses demokrasi dalam CUEPACS terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.










