KUALA LUMPUR: Umat Islam diingatkan supaya tidak menjadikan kesombongan, kebencian dan kezaliman sebagai sebahagian daripada kehidupan, sebaliknya menghayati ibadah solat sebagai benteng membentuk akhlak serta menjunjung keadilan terhadap sesama manusia.
Pesanan itu terkandung dalam khutbah Jumaat bertajuk Membenteng Jiwa dengan Solat yang dikongsikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim menerusi Facebook selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Beting, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Kuala Pilah, hari ini.
Menurut Ismail, solat bukan sekadar kewajipan yang perlu ditunaikan, malah menjadi asas penting dalam membina kekuatan jiwa, memelihara keimanan dan membentuk akhlak terpuji.
Beliau berkata, penghayatan terhadap solat, khususnya ketika sujud, sepatutnya menyedarkan seseorang bahawa setiap manusia ialah hamba Allah SWT yang perlu menghormati hak orang lain dan berlaku adil dalam kehidupan bermasyarakat.
Malah, sujud turut mendidik manusia mengawal hawa nafsu yang mendorong seseorang untuk sentiasa mengharapkan pujian, penghormatan dan keutamaan daripada orang lain.
Dalam perkongsian sama, Ismail turut menekankan peranan masjid sebagai pusat ibadah dan penyatuan ummah, bukan sahaja bagi mengimarahkan syiar Islam, malah mengeratkan silaturahim serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berharap umat Islam terus istiqamah dalam beribadah, menjaga akhlak dan menjadi insan yang membawa kebaikan kepada masyarakat.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan menunaikan Solat Jumaat bersama masyarakat setempat di Masjid Kariah Beting, Kuala Pilah di kawasan DUN Juasseh sebagaimana yang direncanakan mengikut jadual mingguan,” katanya.
Bagaimanapun, perkongsian Ismail itu mendapat perhatian kerana dimuat naik ketika kemelut institusi diraja Negeri Sembilan masih menjadi perhatian umum.
Ia menyusul selepas tular video Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menzahirkan kemurkaan terhadap Ismail dalam satu pertemuan di sebuah masjid.
Menerusi video berkenaan, Tuanku Muhriz dilihat enggan menerima mengadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu, selain mendakwa Ismail sebelum ini menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan menyatakan baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Kemelut berkenaan mencetuskan perhatian terhadap isu kedudukan institusi diraja negeri itu, sekali gus meletakkan tindakan serta kenyataan pemimpin kerajaan negeri dalam penelitian masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara sebelum ini memaklumkan bahawa proklamasi mengenai kedudukan Tuanku Muhriz tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.










