SEREMBAN: Tiga Undang Yang Empat dan tiga Tok Puan menerima darjah kebesaran Negeri Sembilan yang disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dalam istiadat di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, semalam.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan, tiga penerima Darjah Tertinggi Negeri Sembilan (DTNS) ialah Undang Luak Sungei Ujong, Faris Johari; Undang Luak Jelebu, Azrin Khairi; dan Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid.
Sementara itu, Darjah Mulia Negeri Sembilan (DMNS) dianugerahkan kepada Tok Puan Sungei Ujong, Sharifah Amirah Syed Ismail Ash-Shahab; Tok Puan Jelebu, Norazizan Mamat; dan Tok Puan Rembau, Asmah Yaakob.
Menurut kenyataan itu, DTNS merupakan darjah kebesaran yang dikhaskan kepada Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.
DMNS pula dikhaskan kepada Tok Puan Undang Yang Empat serta Tunku Isteri kepada Tunku Besar Tampin.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Penasihat Undang-undang Negeri Sembilan, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal; Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, Masri Razali; pegawai daerah Seremban, Port Dickson, Jelebu dan Rembau serta wakil luak.










