Prabowo Lulus Bantuan Asing, Indonesia Bergelut Padam Kebakaran Hutan

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto meluluskan penerimaan bantuan negara jiran bagi menangani kebakaran hutan dan tanah gambut yang terus mencetuskan krisis jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara.

Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir berkata, Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) kini memuktamadkan prosedur operasi dan teknikal bagi menyelaraskan penerimaan bantuan berkenaan.

Beliau berkata, Prabowo memantau rapat perkembangan kebakaran yang menjejaskan beberapa wilayah di Indonesia serta negara jiran.

Sehingga 13 Oktober lalu, seramai 60,177 anggota termasuk bomba, tentera, polis, pegawai perhutanan dan sukarelawan dikerahkan untuk memadamkan kebakaran, selain penggunaan pesawat dan helikopter bagi operasi pengeboman air serta pembenihan awan.

Malaysia sebelum ini menawarkan sebuah pesawat, tiga helikopter dan 52 anggota bagi membantu operasi pemadaman kebakaran di Indonesia.

Nasir berkata, Indonesia turut berkongsi data operasi dengan pihak berkaitan di peringkat serantau, termasuk langkah pembendungan dan perkembangan semasa di lapangan.

Walaupun jumlah titik panas dilaporkan semakin menurun, keadaan cuaca masih menjadi cabaran besar dalam usaha memadamkan kebakaran.

Krisis itu sebelum ini mencetuskan kebimbangan Malaysia dan Singapura susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu rentas sempadan, sekali gus mengukuhkan keperluan kerjasama serantau bagi menangani kebakaran serta mencegah kejadian sama berulang.

BBerkaitan

Latest articles