PRN Melaka: AMANAH Mahu Rakyat Tolak Politik ‘Sakau Dan Pukau’

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sebagai peluang terbaik untuk rakyat menolak politik ‘sakau dan pukau’ bagi memastikan keadilan serta kemakmuran dapat ditegakkan di negeri itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, PRN Melaka kali ini menjadi ruang untuk membawa perubahan besar demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (JKP Nasional) pada malam Rabu.

“AMANAH percaya bahawa PRN Melaka ini merupakan peluang terbaik bagi rakyat menolak politik sakau dan pukau supaya keadilan dan kemakmuran dalam negara terutama di negeri Melaka dapat ditegakkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, AMANAH memutuskan untuk menangguhkan Konvensyen Amanah Nasional yang dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 November ini kepada 21 dan 22 November.

Faiz berkata, keputusan itu dibuat susulan PRN Melaka yang bakal diadakan dalam masa terdekat, khususnya apabila hari pengundian dijangka bertembung dengan tarikh konvensyen berkenaan.

Konvensyen itu akan berlangsung di Shah Alam, Selangor.

Sehubungan itu, AMANAH turut mengarahkan seluruh jentera parti di peringkat nasional dan negeri supaya memberikan tumpuan kepada PRN Melaka.

Parti itu juga meminta anggotanya turun padang bagi membantu gerak kerja kempen Pakatan Harapan (PH) dalam usaha memastikan perubahan besar dapat dicapai pada pilihan raya berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles