Bekas Menteri Dicekup JAIS, Ditahan Bersama Wanita Dipercayai Pengasas NGO

KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri yang juga pemimpin politik antara dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas disyaki terlibat dalam kes khalwat di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Penahanan kira-kira jam 6 petang Khamis itu turut membabitkan seorang wanita yang dipercayai pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kedua-dua individu berkenaan kemudiannya dibawa ke Pejabat JAIS di Shah Alam bagi urusan dokumentasi dan tindakan lanjut.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, mengesahkan tangkapan itu dengan memaklumkan bahawa operasi berkenaan dijalankan di sekitar daerah Petaling dan membabitkan seorang figura awam.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Beliau berkata, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan sama, JAIS mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan dakwaan yang belum disahkan berhubung kes berkenaan.

Jabatan itu turut menegaskan bahawa tindakan menjadikan perkara terbabit sebagai bahan perdebatan, spekulasi atau fitnah perlu dielakkan bagi menjaga maruah individu yang terlibat sementara proses siasatan berjalan.

BBerkaitan

Latest articles