KUALA LUMPUR: Seorang guru tuisyen ditahan dan direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual serta persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki.
Perbuatan itu dipercayai berlaku di rumah suspek yang turut dijadikan pusat tuisyen.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima lima laporan berasingan berhubung kes berkenaan di Balai Polis Bukit Jalil.
Menurutnya, laporan pertama diterima pada 6 Oktober, diikuti laporan kedua pada 10 Oktober, manakala tiga lagi laporan dibuat pada 11 Oktober lalu.
Bertindak atas laporan berkenaan, polis menjalankan siasatan lanjut termasuk mengambil keterangan daripada mangsa serta ahli keluarga mereka.
Beliau berkata, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut memberikan kerjasama penuh bagi membantu melancarkan siasatan.
Suspek kini berada dalam tahanan reman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Fadil menegaskan siasatan kes itu masih diteruskan.










