KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memperkemas penyampaian maklumat dan mengumumkan keputusan penutupan sekolah akibat jerebu seawal mungkin bagi membolehkan ibu bapa mengatur urusan keluarga tanpa berdepan kesulitan pada saat akhir.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata beliau memahami kebimbangan ibu bapa yang memerlukan maklumat lebih awal untuk membuat persediaan, khususnya membabitkan penjagaan dan keselamatan anak-anak.
Bagaimanapun, katanya, keputusan menutup sekolah tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berubah mengikut masa dan kawasan, sekali gus memerlukan penilaian berdasarkan keadaan semasa.
Beliau berkata, pengurusan jerebu turut membabitkan kerjasama beberapa agensi dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertanggungjawab memantau kualiti udara dan menangani pencemaran, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan panduan mengenai risiko kesihatan.
KPM pula memberi keutamaan kepada keselamatan murid serta pengurusan operasi sekolah berdasarkan situasi semasa, katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata, pengalaman pandemik COVID-19 membuktikan gangguan persekolahan boleh memberi kesan besar terhadap pembelajaran murid, manakala masa yang hilang sukar diganti sepenuhnya.
Katanya, usaha menangani keciciran pembelajaran masih diteruskan sehingga kini, lebih-lebih lagi apabila akses kepada kemudahan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) tidak seragam bagi setiap murid.
Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan murid yang tinggal di asrama kekal di situ sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu, selagi keadaan selamat dan kebajikan mereka terjamin.
Langkah itu, katanya, dapat mengelakkan ibu bapa daripada terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali.
Beliau berkata, KPM akan terus memantau perkembangan jerebu menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), selain berusaha menambah baik penyampaian maklumat kepada ibu bapa.
Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas pandangan dan kesabaran mereka dalam menghadapi situasi berkenaan.










