KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Lim Sian See atau nama sebenarnya Eric See-To, dibebaskan dengan jaminan polis selepas dipanggil memberi keterangan berhubung hantaran media sosialnya yang mempersoalkan penggunaan perkataan ‘lighad’ dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut sumber, Lim dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields semalam sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi pada jam 12.45 tengah malam Ahad untuk membantu siasatan.
Kes berkenaan kemudian dirujuk kepada Bukit Aman sebelum Lim dibebaskan dengan jaminan polis.
Sebelum ini, Lim mencetuskan perhatian menerusi hantaran di media sosial yang mempersoalkan penggunaan perkataan ‘lighad’ dalam teks ucapan Anwar ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.
Dalam hantaran itu, beliau mempersoalkan penggunaan perkataan berkenaan sebelum mengaitkannya secara sinis dengan perkataan lain.
Perkataan ‘lighad’ yang berasal daripada bahasa Arab membawa maksud esok atau masa hadapan dan digunakan dalam Surah al-Hasyr, ayat 18.
Setakat ini, butiran lanjut mengenai siasatan terhadap hantaran berkenaan belum diperincikan.










