KLK Nafi Kebakaran Berlaku Dalam Konsesi Syarikat Di Indonesia

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) menafikan kebakaran yang dikaitkan dengan anak syarikatnya di Indonesia, PT Menteng Jaya Sawit Perdana (PT MJSP), berpunca dari dalam kawasan konsesi syarikat itu, sebaliknya mendakwa insiden berkenaan berasal dari luar kawasan terbabit.

KLK dalam satu kenyataan menjelaskan semua insiden kebakaran yang dikenal pasti setakat ini telah dipadamkan, susulan laporan Greenpeace Indonesia dan Malaysia bersama Pantau Gambut yang mengaitkan kumpulan perladangan itu dengan titik kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia.

Laporan yang diterbitkan pada 5 Oktober lalu itu mengenal pasti KLK antara 20 entiti yang dikaitkan dengan kebakaran berdasarkan analisis data sumber jerebu bagi tempoh Ogos hingga 1 Oktober 2026.

Menurut laporan berkenaan, KLK mempunyai kaitan korporat dengan PT MJSP, yang turut dikenal pasti mempunyai kebakaran di kawasan tanahnya dalam laporan berkaitan jerebu pada 2019.

Bagaimanapun, KLK menegaskan PT MJSP mengamalkan dasar sifar pembakaran selaras dengan komitmennya sebagai anggota Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO).

Menurut kumpulan itu, konsesi PT MJSP kini telah matang sepenuhnya dan tidak menjalankan aktiviti penanaman semula. Tiada pembakaran terbuka dibenarkan di ladang bagi tujuan penyediaan tanah atau aktiviti lain dalam operasi kumpulan berkenaan.

KLK turut menjelaskan keadaan cuaca kering berpanjangan tahun ini meningkatkan risiko kebakaran, termasuk kemungkinan api kembali merebak selepas dipadamkan.

“Keadaan cuaca yang amat kering pada tahun ini, dengan tempoh lebih 90 hari tanpa hujan akibat fenomena Super El Niño, dikhuatiri boleh meningkatkan risiko kebakaran serta kemungkinan kebakaran kembali berlaku tanpa dijangka,” menurut kenyataan itu.

Bagi menangani keadaan berkenaan, KLK memaklumkan pasukannya meningkatkan usaha di lapangan untuk memadam dan mengawal kebakaran sedia ada, selain mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kebakaran baharu serta kejadian kebakaran berulang.

Usaha itu turut meliputi kawasan luas di luar konsesi syarikat, dengan keadaan kering berpanjangan menyebabkan pasukan berkenaan berdepan risiko keletihan ketika memantau dan memadam titik panas secara berterusan.

Sementara itu, laporan Greenpeace dan Pantau Gambut merekodkan sebanyak 5,540 titik sumber asap antara 8 Ogos hingga 20 September 2026.

Daripada jumlah itu, sebanyak 859 titik dikesan dalam 115 konsesi perizinan berusaha pemanfaatan hutan (PBPH), manakala 774 titik lagi berada dalam 210 konsesi perladangan kelapa sawit.

Laporan sama turut menyatakan sebanyak 2,951 titik dikesan dalam 114 kawasan Kesatuan Hidrologi Gambut (KHG), manakala 2,211 titik berada di kawasan yang pernah mengalami kebakaran antara 2015 hingga 2023.

Greenpeace berpandangan kebakaran hutan dan tanah gambut yang berulang mencerminkan kelemahan tadbir urus alam sekitar serta pengurusan landskap di Indonesia, selain menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penguatkuasaan terhadap pihak yang dikaitkan dengan kebakaran.

Laporan itu turut menganggarkan pendedahan jangka panjang kepada zarah halus PM2.5 daripada kebakaran tanah gambut di Sumatera dan Kalimantan dikaitkan dengan kira-kira 33,100 kematian pramatang dalam kalangan orang dewasa serta 2,900 kematian bayi setiap tahun.

Di Malaysia, kesan jerebu rentas sempadan dilaporkan menjejaskan kualiti udara di Sarawak selama 41 hari, Sabah selama 11 hari, Johor selama tujuh hari dan Kuala Lumpur selama lima hari setakat 14 September 2026.

Sehubungan itu, Greenpeace menggesa tindakan penguatkuasaan lebih tegas, termasuk penarikan permit konsesi yang terbabit dalam kemusnahan tanah gambut serta tindakan undang-undang terhadap syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran berulang.

Organisasi itu turut menegaskan pencemaran rentas sempadan memerlukan akauntabiliti serantau, dengan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan bukti yang tersedia.

BBerkaitan

Latest articles