PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima peruntukan RM22 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat RM800 juta berbanding RM21.18 bilion pada tahun sebelumnya.
KDN dalam kenyataan pada Sabtu berkata, peningkatan peruntukan sebanyak 3.78 peratus itu mencerminkan kepentingan aspek keselamatan dalam memastikan ketenteraman awam dan kedaulatan negara terus terpelihara.
“Peningkatan keseluruhan peruntukan KDN sebanyak RM800 juta ini menggambarkan peranan penting KDN sebagai pemangkin kerangka Ekonomi MADANI dalam konteks Memperkukuh Perpaduan dan Keselamatan Negara,” menurut kenyataan itu.
Antara tumpuan utama Belanjawan 2027 ialah memperkukuh kawalan sempadan dan keselamatan di pintu masuk negara menerusi peruntukan RM490 juta bagi program berkaitan pengurusan pendaftaran, imigresen, kawalan sempadan dan pintu masuk, termasuk aktiviti baharu melibatkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Dalam usaha membanteras penipuan dalam talian, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan akan membangunkan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan orang ramai menyemak nombor telefon, akaun bank dan pautan yang berisiko.
Aplikasi itu turut menyediakan kemudahan pelaporan pantas serta integrasi data dengan sistem berkaitan bagi mempercepat pengesanan cubaan penipuan.
“Iinisiatif ini akan mempercepatkan pengesanan cubaan berisiko dan mengurangkan kerugian akibat penipuan dalam talian,” jelas KDN.
Sementara itu, Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memperkasakan operasi Sistem Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC) dengan teknologi AI, analitik lanjutan dan pemprosesan maklumat bagi meningkatkan keupayaan mengesan ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak.
Sistem itu membolehkan data dianalisis dengan lebih pantas serta membantu menghasilkan amaran awal berkaitan ancaman dan kes berisiko tinggi.
Bagi memperkukuh kesiapsiagaan operasi, sebanyak RM7.1 bilion diperuntukkan untuk pembelian dan penyelenggaraan aset polis serta badan beruniform di bawah KDN.
Peruntukan itu turut melibatkan pembinaan beberapa fasiliti baharu, termasuk Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri di Tanjung Kupang, Johor; Kompleks Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras; dan Pejabat Imigresen Keningau, Sabah.
Tiga balai polis baharu turut dirancang di Sungai Rambai, Melaka; Tanjung Malim, Perak; serta Batu Lintang di Sri Aman, Sarawak.
Selain itu, sebanyak 48 mesin pengimbas badan dan bagasi baharu dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu bagi memperkukuh operasi AKPS.
Kerajaan turut memperuntukkan RM1.1 bilion bagi memperhebat keupayaan badan penguatkuasaan, termasuk PDRM.
Dalam perkembangan lain, elaun penugasan petugas sukarelawan, termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sukarelawan polis, dinaikkan kepada RM9 sejam.
Sebahagian daripada RM65 juta turut disediakan bagi memanfaatkan pesara polis yang terlibat dalam usaha melindungi khazanah biodiversiti negara.
Mengulas pendekatan pelaksanaan peruntukan itu, KDN berkata, pelaksanaan yang berasaskan outcome akan menjadi keutamaan bagi memastikan setiap peruntukan yang disediakan dapat diterjemahkan kepada peningkatan keupayaan serta manfaat yang nyata.
KDN turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas perhatian yang diberikan terhadap aspek keselamatan negara menerusi Belanjawan 2027.
“KDN kekal komited untuk memastikan Malaysia terus berada dalam keadaan aman, selamat dan sejahtera, dengan penguatkuasaan yang berkesan, penggunaan teknologi yang optimum serta penglibatan masyarakat sebagai rakan strategik dalam ekosistem keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.










