KUALA LUMPUR: Peruntukan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak terus ditingkatkan pada 2027, masing-masing kepada RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion, mencerminkan komitmen kerajaan meneruskan pembangunan serta memenuhi hak kedua-dua negeri berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan untuk Sabah meningkat daripada RM17.6 bilion tahun ini, manakala Sarawak menerima RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion pada 2026.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Dalam usaha memperluas akses pendidikan tinggi, kerajaan turut bersetuju menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak, sekali gus membuka peluang kepada 4,200 pelajar dari kedua-dua negeri melanjutkan pengajian setiap tahun.
Anwar menegaskan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar urusan pentadbiran Sabah dan Sarawak, sebaliknya tanggungjawab nasional yang wajib ditunaikan.
Beliau berkata kadar Pemberian Khas kepada kedua-dua negeri telah dinaikkan sebanyak tiga kali, dengan kadar interim terkini mencecah RM1.5 bilion.
Bayaran itu akan diselesaikan sebelum penghujung tahun ini, sementara rundingan bersama kerajaan negeri diteruskan bagi memuktamadkan formula pemberian tahunan yang adil dan mampan.
Menurutnya, sebanyak 12 perkara berkaitan MA63 telah dimuktamadkan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, termasuk pelantikan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak.
Turut dimuktamadkan ialah penyerahan MASWings kepada Sarawak, yang kini beroperasi sebagai AirBorneo. Kerajaan Persekutuan akan meneruskan subsidi RM209 juta bagi memastikan perkhidmatan penerbangan itu terus memberi manfaat kepada 820,000 penumpang di kawasan pedalaman.
Di Sabah pula, meskipun kuasa kawal selia elektrik telah diserahkan kepada kerajaan negeri, Persekutuan masih menyediakan RM600 juta bagi menjamin kesinambungan bekalan tenaga.
Kerajaan turut meluluskan pemasangan Sistem Statcom di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta bagi meningkatkan kestabilan bekalan elektrik, selain meneruskan projek Talian Penghantaran Southern Link sebagai penyelesaian jangka panjang.
Dalam perkembangan lain, rundingan rasmi bagi pembangunan Zon Ekonomi Khas Sibu di Sarawak akan dimulakan, merangkumi pemuktamadan kerangka insentif, penubuhan pusat sehenti bagi memudahkan pelaburan serta penyediaan infrastruktur strategik.
Bagi mempercepat pembangunan jaringan pengangkutan di kedua-dua negeri, kerajaan menyediakan RM3.3 bilion pada 2027 untuk meneruskan pelbagai projek jalan raya di Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata surat setuju terima (SST) bagi seksyen Miri untuk Lebuhraya Trans Borneo telah dikeluarkan, manakala seksyen Limbang dan Lawas dijangka menyusul sebelum akhir tahun ini.
Projek Sarawak-Sabah Link Road 1 dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B pula disasarkan siap menjelang penghujung 2027.
Selain itu, RM350 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan di Sabah dan Sarawak, dengan kerja berkenaan dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4 bagi membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor kecil tempatan.










