KUALA LUMPUR: BERSAMA melancarkan Belanjawan Bayangan 2027 sebagai alternatif kepada dasar ekonomi kerajaan, sekali gus memberi ruang kepada rakyat menilai cadangan pengurusan kewangan negara dan usaha menangani isu keberhutangan.
Pengasas bersama BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, penyediaan belanjawan bayangan itu menggunakan model unjuran ekonomi yang menyeluruh bagi memastikan cadangan dikemukakan mempunyai asas pengiraan yang lebih kukuh.
Menurutnya, penyediaan belanjawan bayangan bukan tugas mudah kerana memerlukan unjuran menyeluruh berkaitan hasil negara, perbelanjaan kerajaan, pinjaman serta jumlah hutang berdasarkan pelbagai andaian ekonomi.
Beliau berkata, andaian berkenaan merangkumi pertumbuhan ekonomi, kadar inflasi, harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang dan pertumbuhan gaji.
“Kesukaran utama menyediakan belanjawan bayangan ialah untuk menyiapkan unjuran keseluruhan kedudukan kewangan negara, termasuk berapa hasil daripada cadangan cukai, perbelanjaan, jumlah pinjaman dan hutang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Rafizi berkata, pengalaman lalu menyediakan Belanjawan Bayangan Pakatan Harapan (PH) 2016 menunjukkan cabaran membangunkan model unjuran ekonomi menyeluruh yang memenuhi piawaian lazim digunakan institusi kewangan antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, penyediaan Belanjawan Bayangan BERSAMA 2027 kali ini dibantu penggunaan model unjuran ekonomi yang merangkumi ratusan hamparan elektronik bagi pengiraan dan unjuran keseluruhan ekonomi negara.
Beliau turut menyifatkan penyertaan ahli ekonomi, Sum Dek Joe, yang mempunyai pengalaman dalam bidang akademik dan badan ekonomi antarabangsa sebagai antara faktor penting memperkukuh kepakaran ekonomi BERSAMA.
Selain itu, pengalaman beliau terlibat dalam tiga kitaran belanjawan kerajaan sebelum ini turut membantu dari sudut pemahaman terhadap proses pentadbiran dan pengurusan kewangan negara.
Menurut Rafizi, Belanjawan Bayangan BERSAMA 2027 dilancarkan dua hari sebelum hantaran itu dibuat dan menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Dokumen penuh setebal 144 muka surat berserta slaid penerangan turut disediakan untuk dimuat turun melalui laman sesawang BERSAMA.
Beliau berkata, pihaknya juga akan menerbitkan infografik setiap hari bagi menerangkan cadangan yang dikemukakan untuk membantu Malaysia keluar daripada perangkap keberhutangan.
Tambahnya, belanjawan bayangan berkenaan membolehkan rakyat membandingkan unjuran ekonomi dan pendekatan dasar alternatif dengan belanjawan kerajaan yang dijadual dibentangkan pada hari sama.
Rafizi turut memaklumkan bahawa beliau akan mengulas perbandingan antara kedua-dua belanjawan itu menerusi Podcast YBM Episod 67 pada jam 9 malam, Jumaat, 9 Oktober, selain membuka ruang kepada orang ramai mengemukakan soalan secara langsung.
Beliau berharap inisiatif itu dapat membantu rakyat memahami pilihan dasar ekonomi yang tersedia serta menilai pendekatan berbeza dalam mengurus kewangan negara.










