KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 kes jenayah membabitkan 12 ahli politik diberikan pelepasan tanpa pembebasan (Discharge Not Amounting to an Acquittal atau DNAA) di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah seluruh negara bagi tempoh 2010 hingga Julai 2026.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah itu berdasarkan semakan rekod kes jenayah oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP).
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai jumlah kes DNAA membabitkan ahli politik dan pemimpin berprofil tinggi serta individu terlibat dan jenis pertuduhan dikenakan.
Menurut Azalina, DNAA tidak bermaksud seseorang itu dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapinya.
Sebaliknya, individu yang diberikan DNAA masih boleh didakwa semula atas pertuduhan sama sekiranya pihak pendakwaan memutuskan untuk berbuat demikian berdasarkan fakta, keterangan dan perkembangan kes.
“DNAA tidak terjumlah kepada suatu pembebasan daripada pertuduhan,” katanya.
Beliau menjelaskan, kes jenayah tidak tertakluk kepada tempoh had masa seperti kes sivil, justeru pendakwaan semula masih boleh dilakukan terhadap individu yang diberikan DNAA.
Azalina berkata, bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai kes tertentu, perkara itu boleh dirujuk terus kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku pihak yang mempunyai rekod dan maklumat berkaitan pendakwaan kes berkenaan.
Bagaimanapun, jawapan bertulis itu tidak menyenaraikan nama 12 ahli politik terbabit atau jenis pertuduhan bagi setiap kes DNAA, seperti diminta dalam soalan berkenaan.










