Perjanjian Gajah Ke Jepun Diklasifikasikan Sulit, Tunggu Syor JKP

KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung pendedahan terma perjanjian pemindahan tiga ekor gajah Asia ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun termasuk klausa pemilikan anak gajah dan syarat penamatan, tertakluk kepada pertimbangan serta syor Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dokumen perjanjian berkenaan telah diklasifikasikan sebagai sulit mengikut prosiding dan peraturan yang berkuat kuasa.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai status perjanjian selama 25 tahun antara Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan Zoo Tennoji.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mempunyai maklumat atau hubungan secara langsung berhubung urusan serta terma perjanjian pemindahan gajah berkenaan.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat MPT, JKP Alam Sekitar, Sains dan Perladangan sedang meneliti perjanjian pemindahan tiga ekor gajah Asia ke zoo berkenaan.

Beliau berkata, dokumen bertarikh 19 Mei 2022 dan 6 Oktober 2022 itu telah dikemukakan oleh MPT kepada jawatankuasa berkenaan pada 22 Mei 2026.

“Sebarang ketetapan berkenaan pemakluman terma termasuk klausa pemilikan anak gajah dan syarat penamatan mahupun pembentangannya adalah tertakluk sepenuhnya kepada pertimbangan dan syor JKP Alam Sekitar, Sains dan Perladangan mengikut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.

Wee sebelum itu meminta penjelasan sama ada perjanjian berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat, selain mempersoalkan asas pengelasannya sebagai sulit sedangkan salinannya telah diserahkan kepada JKP.

Nga berkata, kementerian sentiasa menghormati peranan dan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang terhadap perkara berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles