EPR Mandatori Sisa Pembungkusan Disasar Bermula 2030

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan mandatori peluasan tanggungjawab pengeluar (Extended Producer Responsibility atau EPR) bagi sisa pembungkusan disasarkan bermula pada 2030, tertakluk kepada ketersediaan perundangan berkaitan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan secara sukarela akan bermula pada 2026 sebelum diperluaskan kepada kewajipan mandatori.

Beliau berkata, pendekatan itu merupakan antara instrumen ekonomi kitaran di bawah Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal di Malaysia, selaras dengan Seksyen 102 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Menurutnya, EPR memperluaskan tanggungjawab pengeluar terhadap pengurusan produk dan pembungkusan selepas digunakan, termasuk pengumpulan, pemerolehan semula serta kitar semula.

“Pendekatan EPR yang sedang dibangunkan oleh KPKT adalah berteraskan prinsip industry-driven, iaitu industri akan memainkan peranan utama dalam membangun, membiayai dan mengendalikan sistem EPR yang bersesuaian,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Nga berkata, kerajaan pula bertindak sebagai pemudah cara dan pengawal selia dengan menyediakan kerangka dasar, perundangan, mekanisme kawal selia, sasaran serta keperluan pelaporan bagi menyokong pelaksanaan sistem berkenaan.

Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut membangunkan Sistem Pangkalan Data EPR (MyEPR) bagi menyokong pelaporan data produk yang diletakkan di pasaran serta sisa pembungkusan yang dikumpulkan dan dikitar semula oleh industri.

Dari segi pembiayaan, katanya, prinsip utama EPR adalah memastikan kos pengurusan produk selepas digunakan tidak ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT), sebaliknya turut dipikul oleh pihak yang meletakkan produk di pasaran.

Jelasnya, fi EPR akan ditentukan melalui persetujuan antara Syarikat Berkewajipan (Obliged Companies atau OC) dengan Organisasi Tanggungjawab Pengeluar (Producer Responsibility Organisation atau PRO) yang dilantik bagi melaksanakan kewajipan berkenaan.

Tambah beliau, KPKT mengambil pendekatan berfasa dan kolaboratif bagi memastikan pelaksanaan EPR mandatori disokong oleh ekosistem kutipan, pemerolehan semula, kitar semula, pelaporan data serta pasaran bahan sekunder yang berfungsi.

Nga berkata, kerjasama antara kerajaan, industri, PBT, pengendali sistem dan pemain industri kitar semula akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan EPR yang praktikal, berkesan dan mampan.

Bagaimanapun, jawapan bertulis itu tidak memperincikan jumlah peruntukan, insentif Belanjawan 2027 atau kos keseluruhan penyediaan infrastruktur bagi menyokong pelaksanaan EPR mandatori, seperti ditanyakan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

BBerkaitan

Latest articles