KPT Perkukuh Kerjasama Industri, Pastikan Kurikulum IPT Relevan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewajibkan penglibatan penilai industri dalam pembangunan kurikulum program akademik baharu di universiti awam (UA) bagi memastikan pengajian kekal relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kurikulum baharu tidak akan diluluskan tanpa laporan dan pengesahan penilai daripada industri berkaitan.

Menurutnya, KPT turut memperkukuh kerjasama melalui Konsortium Universiti-Industri dalam sektor strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E) serta automasi.

“Konsortium ini menyelaras pembangunan bakat, semakan kurikulum, latihan kompetensi, perkongsian kemudahan dan projek bersama,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata, pendekatan Industry on Campus (IoC) turut membawa persekitaran, peralatan dan proses kerja sebenar industri ke kampus, manakala Work-Based Learning (WBL) membolehkan pelajar menjalani latihan di industri selama satu atau dua tahun melalui program 2u1i atau 2u2i.

Selain itu, KPT menggalakkan pensijilan kompetensi dan profesional kepada pelajar bagi meningkatkan kemahiran melangkaui kurikulum, selain memperkukuh kompetensi tenaga akademik melalui sangkutan dan sabatikal industri.

Zambry berkata, laluan pembelajaran fleksibel seperti microcredential, Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan Stackable Degree turut disediakan bagi menyokong peningkatan serta latihan semula kemahiran, khususnya dalam bidang yang berubah pantas.

Tambahnya, Universiti Awam juga perlu mengemukakan data terkini berkaitan keperluan pasaran pekerjaan ketika memohon pelaksanaan program baharu, manakala program sedia ada perlu mendapatkan input serta penilaian panel industri secara berkala.

Bagaimanapun, jawapan bertulis itu tidak menyatakan peratusan khusus program pengajian sedia ada yang telah melalui semakan berdasarkan data permintaan industri, seperti ditanyakan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali.

BBerkaitan

Latest articles