KUALA LUMPUR: Sistem eJamin yang menguruskan bayaran wang jaminan mahkamah didapati beroperasi selama lima tahun tanpa sebarang kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, sistem berkenaan beroperasi di 192 mahkamah seluruh negara sejak 10 Januari 2020 tanpa surat lantikan, surat setuju terima, letter of intent mahupun perjanjian kontrak rasmi.
Menurut beliau, perkara itu antara beberapa penemuan PAC hasil empat prosiding yang dijalankan antara 4 November hingga 2 Disember 2025, membabitkan pihak Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Peguam Negara (AGC), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Jabatan Akauntan Negara Malaysia serta syarikat pengendali sistem eJamin, Dapat Vista Sdn. Bhd.
“PAC mendapati pengoperasian sistem eJamin adalah tidak seiring dengan aspek kawalan perundangan, penyelarasan akaun dan pematuhan tadbir urus perakaunan.
“Sistem ini beroperasi tanpa ikatan kontrak rasmi selama lima tahun,” katanya dalam sidang media selepas pembentangan Penyata PAC berkaitan pengurusan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah melalui sistem eJamin di Dewan Rakyat pada Isnin.
Mas Ermieyati berkata, lebih membimbangkan apabila wang jaminan yang dibayar melalui sistem berkenaan dimasukkan ke dalam akaun komersial syarikat, bukannya diperakaunkan dalam akaun amanah disatukan.
Katanya, keadaan itu didapati melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.
“Daripada baki deposit wang jaminan sebanyak RM193.71 juta setakat 31 Disember 2024, sebanyak RM103.8 juta didapati telah dilaburkan oleh Dapat Vista atas nama syarikat.
“Pelaburan tersebut menjana faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun,” katanya.
Beliau berkata, ketiadaan struktur pemegang amanah (trustee), bon pelaksanaan atau perlindungan insurans turut mendedahkan wang jaminan kepada risiko kewangan sekiranya syarikat berkenaan menghadapi masalah kewangan atau penggulungan.
Selain itu, PAC turut menemukan jurang perbezaan baki sebanyak RM557,258 yang masih belum disahkan antara rekod sistem eJamin dengan penyata bank syarikat.
Menurutnya, isu tersebut berpunca daripada transaksi jaminan harian yang aktif dan memerlukan proses rekonsiliasi segera oleh pihak berkaitan.
Mas Ermieyati berkata, sistem eJamin pada asalnya dibangunkan hasil kajian Dapat Vista pada 2017 bagi memudahkan proses bayaran jaminan di mahkamah.
“Sistem ini dilaksanakan secara Proof of Concept (POC) yang dipersetujui Ketua Hakim Negara, namun pelaksanaannya tidak mengikut tatacara perolehan kewangan kerajaan yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata, tindakan menghentikan operasi eJamin selama tiga hari sebelum ini turut mencetuskan bantahan daripada Badan Peguam Malaysia dan orang awam kerana dikhuatiri menjejaskan proses pelepasan orang kena tuduh (OKT).
Bagaimanapun, MOF kemudian menetapkan supaya sistem sedia ada diteruskan secara percuma melalui perjanjian rasmi serta struktur akaun bank pemegang amanah.
“PAC berpandangan pengoperasian tanpa kontrak selama lima tahun menerusi pengecualian khas yang diberikan berulang kali merupakan tempoh ketidakpatuhan kewangan yang terlalu lama.
“Kerajaan sebenarnya mempunyai saluran alternatif sendiri bagi pengurusan jaminan seperti sistem e-Court Finance (ECF), pindahan dana secara elektronik (EFT) dan sistem i-Payment,” katanya.
Sehubungan itu, PAC mengemukakan lapan syor penambahbaikan kepada kerajaan, antaranya PKPMP dan MOF perlu menyegerakan rundingan bagi memuktamadkan perjanjian rasmi bersama Dapat Vista bagi melindungi dana jaminan.
Kerajaan juga disaran memuktamadkan definisi wang awam bagi mengelakkan kekeliruan antara agensi kerajaan, selain memastikan pengurusan dan perakaunan wang jaminan mematuhi Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 4 dan Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.
PAC turut mengesyorkan PKPMP membangunkan modul jaminan dalaman melalui ECF atau e-Kehakiman bagi mengurangkan kebergantungan kepada vendor dan memastikan pemilikan data kerajaan sepenuhnya.
Antara syor lain ialah kerajaan mengeluarkan pekeliling serta garis panduan khusus bagi pelaksanaan POC, mempercepatkan rekonsiliasi baki akaun deposit wang jaminan jenayah dan melaksanakan pemantauan secara berkala.
MOF, AGC dan Jabatan Digital Negara juga disaran memperketat kawalan perolehan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memastikan tiada vendor beroperasi tanpa kontrak sah.
Dalam pada itu, MOF perlu memperketatkan pemberian pengecualian khas kewangan bagi memelihara prinsip tadbir urus yang baik.
Orang ramai yang ingin mendapatkan laporan penuh Penyata PAC berhubung pengurusan perkhidmatan bayaran wang jaminan mahkamah melalui sistem eJamin boleh memuat turunnya menerusi laman web rasmi Parlimen Malaysia.










