25 Saksi Dipanggil Bantu Siasatan Dakwaan Ketua Pengarah AKPS Kasari Anggota Polis

KUALA LUMPUR: Seramai 25 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikasari secara fizikal oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM telah menerima laporan polis daripada dua anggota berkenaan berhubung dakwaan tersebut.

Menurutnya, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, seramai 25 orang saksi telah dirakam percakapan, terdiri daripada pegawai dan anggota PDRM, pegawai AKPS, anggota polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pekerja sistem pengendalian bagasi, pegawai perubatan serta saksi bebas,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan dengan sengaja melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.

“Jika dibuktikan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Mohd Khalid berkata, PDRM memberi jaminan bahawa siasatan dilaksanakan secara telus, profesional dan tanpa memihak berdasarkan keterangan saksi serta bukti yang diperoleh.

Katanya, setiap aspek kejadian akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan siasatan dijalankan berdasarkan fakta dan bukti.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 6 Oktober 2026 untuk penelitian, nasihat dan arahan selanjutnya, selaras dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan dan perundangan yang sedang berjalan.

BBerkaitan

Latest articles