KUALA LUMPUR: Kerajaan dan semua pihak berkepentingan tidak boleh lagi berlengah dalam menangani isu keganasan di sekolah sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa, tegas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau berkata, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak selepas rumah, namun insiden keganasan membabitkan pelajar sejak kebelakangan ini semakin membimbangkan ibu bapa.
Mengulas kematian pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal di Yong Peng, Johor, semalam, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menganggap setiap kejadian sebagai insiden terpencil sebelum mengeluarkan kenyataan simpati tanpa tindakan berkesan.
“Kes keganasan di sekolah salah siapa? Jangan tunggu nyawa seterusnya melayang baru mahu bertindak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mengaitkan tragedi itu dengan kematian pelajar tingkatan dua, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, yang dipercayai dipukul pelajar senior di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada 25 September lalu.
Akmal menegaskan, isu keselamatan pelajar tidak sepatutnya dijadikan pertikaian politik antara kerajaan dan pembangkang kerana tanggungjawab mencegah keganasan memerlukan kerjasama ibu bapa, guru, pihak sekolah dan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik dan mengawal disiplin anak kepada pihak sekolah, sebaliknya turut memainkan peranan di rumah.
Antara langkah dicadangkan menerusi RIMBUN 1.0 termasuk mengembalikan autoriti disiplin kepada guru, pelaksanaan hukuman rotan secara terkawal mengikut prosedur serta pewujudan Akta Perlindungan Guru dan Murid.
Beliau juga menggesa pemasangan CCTV diperluas ke kawasan strategik sekolah, termasuk koridor, tangga, pintu masuk dan lokasi tersorok bagi mengesan serta mencegah insiden keganasan.
Selain itu, pemantauan terhadap kandungan yang mengagungkan budaya samseng, buli dan pergaduhan perlu diperketat, manakala sistem pengesanan awal pelajar berisiko perlu diperkukuh dengan penglibatan guru disiplin, kaunselor dan pentadbir sekolah.
Katanya, ibu bapa juga perlu lebih peka terhadap perubahan emosi dan tingkah laku anak-anak bagi membolehkan sebarang petanda awal ancaman dikenal pasti.
“Isunya hari ini bukan mencari siapa yang hendak dipersalahkan. Isunya ialah adakah kita mahu bertindak sebelum berlaku kematian seterusnya, atau hanya bertindak selepas semuanya terlambat?
“Sekolah mesti menjadi tempat untuk membina masa depan, bukan tempat nyawa dan keselamatan anak-anak dipertaruhkan,” katanya.










