MCCC Persoal Keberkesanan CCTV, Desak Keselamatan Sekolah Diaudit

KUALA LUMPUR: Tragedi kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan institusi pendidikan, khususnya keberkesanan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang mempersoalkan sama ada sekolah berkenaan dilengkapi CCTV dan sejauh mana sistem pemantauan itu meliputi kawasan berisiko di dalam premis sekolah.

Pengerusinya, Daniel Khoo berkata, pihak berkaitan perlu menjelaskan kedudukan sebenar sistem keselamatan itu, termasuk jumlah kamera yang dipasang, lokasi serta kawasan yang berada dalam liputan pemantauan.

Menurutnya, kewujudan CCTV semata-mata tidak memadai sekiranya pemasangannya tidak strategik atau gagal merangkumi laluan utama yang sering digunakan pelajar.

“Persoalannya, adakah CCTV dipasang di laluan pelajar, pintu masuk, koridor dan kawasan lain yang berpotensi menimbulkan risiko keselamatan?

“Kita juga perlu tahu siapa yang bertanggungjawab memantau rakaman berkenaan dan sama ada sistem penyimpanannya berfungsi dengan baik sehingga rakaman boleh digunakan apabila berlaku kejadian,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mempunyai rekod terperinci mengenai kemudahan keselamatan di setiap sekolah, termasuk kedudukan kamera serta kawasan yang masih mempunyai kelemahan dari segi pemantauan.

Katanya, audit keselamatan secara menyeluruh perlu dilaksanakan secara berkala bagi membolehkan sebarang kekurangan dikenal pasti dan diperbaiki sebelum insiden tidak diingini berlaku.

“Berapa banyak lagi perkara perlu berlaku sebelum kita benar-benar melihat keselamatan sekolah sebagai satu perkara yang serius?

“Kita tidak boleh memandang ringan isu ini. Apabila melibatkan nyawa pelajar, semua kelemahan perlu dikenal pasti dan diperbaiki,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Daniel menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh langkah pencegahan jenayah menerusi pemantauan dan rondaan berkala di kawasan sekolah.

Menurutnya, kehadiran polis secara berkala penting bagi mengesan lebih awal sebarang ancaman keselamatan, termasuk pencerobohan individu luar, kegiatan gangsterisme dan pergaduhan dalam kalangan pelajar.

Beliau berharap Ketua Polis Negara dapat mempertimbangkan satu mekanisme pemantauan lebih tersusun dengan kerjasama pihak sekolah.

Katanya, cadangan itu tidak bermaksud setiap sekolah perlu menempatkan anggota polis secara tetap, sebaliknya rondaan berkala sudah memadai sebagai langkah meningkatkan pengawasan dan mengenal pasti potensi ancaman.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya fungsi pasukan kadet di sekolah dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada usaha membendung jenayah dan masalah disiplin.

Daniel berpandangan, pelajar yang menyertai pasukan berkenaan boleh diberikan pendedahan sewajarnya untuk membantu menyalurkan maklumat mengenai kegiatan buli, gangsterisme atau sebarang masalah keselamatan yang berlaku dalam persekitaran sekolah.

“Setiap sekolah mempunyai pasukan kadet. Persoalannya, adakah mereka turut mempunyai peranan dalam membantu aspek keselamatan dan pencegahan jenayah?

“Jika diberikan latihan bersesuaian, mereka berpotensi menjadi mata dan telinga PDRM di peringkat sekolah kerana lebih dekat dengan rakan sebaya serta mungkin mengetahui sesuatu masalah lebih awal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, cadangan itu perlu disertakan garis panduan yang jelas bagi memastikan pelajar tidak dibebankan dengan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan guru atau pihak polis.

Sebaliknya, maklumat yang disalurkan boleh dijadikan asas kepada pihak sekolah dan PDRM untuk mengambil tindakan awal sebelum sesuatu masalah berkembang menjadi lebih serius.

“Kita tidak mahu hanya bertindak selepas berlaku sesuatu. Apa yang diperlukan ialah pencegahan.

“Sekolah merupakan tempat ibu bapa menghantar anak-anak untuk menimba ilmu. Mereka berhak mendapat keyakinan bahawa keselamatan anak-anak diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, MCCC Pahang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap siasatan pihak berkuasa berhubung tragedi berkenaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Daniel turut menggalakkan ibu bapa yang mempunyai aduan mengenai aspek keselamatan pelajar, khususnya jika pihak sekolah didakwa tidak mengambil serius perkara berkenaan, supaya menghubungi MCCC Pahang menerusi talian 014-994 6697 untuk perhatian dan tindakan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles