KPM Siasat Kemungkinan Kecuaian, Fadhlina Ingatkan Tidak Sembunyikan Fakta Kejadian

YONG PENG: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap aspek keselamatan di sekolah menengah di Yong Peng, Johor, susulan kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairoul Faisal, semalam.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan, kementerian tidak akan berkompromi sekiranya pemeriksaan mendapati wujud unsur kecuaian atau kegagalan mana-mana pihak melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, pemeriksaan itu merangkumi rekod kehadiran murid yang mengikuti kelas tambahan, kelulusan syarikat kawalan keselamatan serta pelaksanaan rondaan oleh pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.

“Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Menurutnya, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Fadhlina berkata, beliau berada di Yong Peng bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kejadian itu, selain memastikan kementerian memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.

Bagaimanapun, katanya, KPM tidak akan mendahului siasatan pihak berkuasa, khususnya berhubung motif dan punca sebenar kejadian.

Dalam perkembangan sama, kementerian turut menyediakan sokongan kaunseling kepada warga sekolah yang terkesan dengan tragedi berkenaan.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.

Terdahulu, Irene Sofiya, 16, ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, petang semalam selepas tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan.

Mangsa dipercayai ditemukan oleh neneknya yang datang ke sekolah kira-kira jam 5.30 petang selepas menyedari cucunya masih belum pulang.

BBerkaitan

Latest articles