PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan segera dan menyeluruh dijalankan bagi merungkai kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairoul Faisal yang ditemukan tidak bernyawa di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor, semalam.
Beliau menegaskan, tiada kompromi terhadap sebarang unsur jenayah dan pihak yang didapati terbabit mesti dikenakan tindakan tegas mengikut lunas undang-undang.
Menurutnya, keselamatan serta kesejahteraan pelajar merupakan tanggungjawab bersama yang tidak boleh dipandang ringan.
“Keselamatan anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut menzahirkan rasa dukacita atas tragedi itu serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan waris mangsa, selain mendoakan mereka diberikan kekuatan menghadapi kehilangan berkenaan.
Terdahulu, Irene Sofiya, 16, ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, petang semalam selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan.
Mangsa dipercayai ditemukan oleh neneknya yang datang ke sekolah kira-kira jam 5.30 petang selepas menyedari cucunya masih belum pulang.










