KUALA LUMPUR: Sekolah mesti kekal sebagai antara tempat paling selamat untuk pelajar dan sebarang kelemahan aspek keselamatan perlu segera dikenal pasti serta diperbaiki, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat berkata, kejadian kematian tragis seorang pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, amat mengejutkan dan mendukacitakan.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Irene Sofiya terutama kepada nenek yang menjadi penjaganya.
“Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Menurutnya, lebih membimbangkan apabila polis dilaporkan menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan perlu diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk dijalankan secara profesional dan menyeluruh tanpa sebarang spekulasi atau tindakan yang mendahului proses undang-undang.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli menuntut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan penjelasan serius berhubung aspek keselamatan di sekolah susulan kejadian berkenaan.
“Bagaimana seorang pelajar boleh ditemukan meninggal dunia dalam kawasan sekolah dan apakah tahap kawalan serta keselamatan yang dilaksanakan ketika itu?
“Kita semua maklum ini bukan kes pertama kematian pelajar dalam kawasan sekolah yang dilaporkan media sejak akhir-akhir ini,” katanya.
Beliau berkata, KPM perlu melakukan audit segera terhadap aspek keselamatan sekolah, khususnya kawalan selepas waktu persekolahan, kelas tambahan, pemantauan kawasan sekolah serta mekanisme bagi mengesan ancaman keganasan dan salah laku dalam kalangan pelajar.
Katanya, ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan kepercayaan besar bahawa keselamatan mereka akan dijaga.
“Kepercayaan ini tidak boleh dibiarkan terhakis.
“Jika terdapat kelemahan sistem, akuilah dan perbaikilah. Jangan tunggu satu lagi nyawa melayang sebelum tindakan lebih tegas diambil,” katanya.










