Jika Trump Boleh Datang, Kenapa Konsert Israel Houghton Tak Boleh? – Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR: Jika Malaysia mampu mengurus aspek keselamatan ketika menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meskipun wujud bantahan terhadap pendirian Washington mengenai isu Palestin, tiada alasan konsert penyanyi gospel AS, Israel Houghton, tidak boleh diteruskan di Sabah.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berkata perkara itu sepatutnya dilihat dari sudut pengurusan keselamatan dan bukannya menjadikan bantahan segelintir pihak sebagai alasan untuk menghalang sesuatu acara.

Beliau turut mempersoalkan pendirian polis yang dilaporkan akan menasihati kerajaan Sabah supaya menangguhkan konsert berkenaan sekiranya penganjur mengemukakan permohonan rasmi.

Menurutnya, polis tidak menjelaskan secara terbuka bahawa persembahan Houghton yang dijadualkan bulan ini mempunyai risiko menggalakkan kebencian atau keganasan.

“Polis sepatutnya menjelaskan mengapa sensitiviti yang timbul berhubung konsert Houghton tidak boleh diuruskan dengan cara yang sama melalui aturan keselamatan yang sewajarnya.

“Bantahan daripada beberapa kumpulan sahaja tidak sepatutnya menjadi penentu sama ada sesuatu acara boleh diteruskan atau tidak,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, memastikan keselamatan dan ketenteraman awam merupakan tanggungjawab asas pihak berkuasa, justeru sebarang ancaman untuk mengganggu acara berkenaan perlu ditangani mengikut undang-undang.

“Ketenteraman awam tidak boleh sesekali dijadikan alasan untuk membenarkan sesiapa menggunakan ancaman kekacauan bagi menentukan siapa yang boleh menyanyi dan siapa yang boleh mendengar,” katanya.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata pihaknya memberi nasihat supaya konsert itu ditangguhkan selepas mengambil kira reaksi orang ramai serta sensitiviti masyarakat.

Polis turut menerima dua laporan berkaitan penganjuran konsert tersebut.

Jauteh berkata nama Houghton dan pendiriannya yang didakwa menyokong Israel telah mencetuskan sensitiviti dalam kalangan masyarakat.

Pada masa sama, beliau memaklumkan penganjur masih belum mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan negeri meskipun butiran mengenai tarikh, lokasi dan harga tiket sudah diiklankan.

Konsert berkenaan dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober di beberapa lokasi di Kota Kinabalu sebagai sebahagian daripada jelajah antarabangsa penyanyi terbabit, dengan Sabah menjadi antara persinggahannya di Malaysia.

Sementara itu, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Datuk Seri Shafie Apdal, turut berpandangan konsert berkenaan wajar dibenarkan sekiranya aspek keselamatan dapat dikawal secara munasabah.

Kedua-duanya menegaskan pendirian itu selari dengan hak penganut Kristian di Sabah untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman, selain menekankan kepentingan sikap saling menghormati dalam masyarakat berbilang agama.

BBerkaitan

Latest articles