Kaya Kerana Berniaga Atau Guna Kuasa?

KUALA LUMPUR: Pengasas GTR Burger dan jenama makanan segera tempatan BGM Burgerman, Nordin Mat, mempersoalkan sikap segelintir individu kaya yang didakwa gemar mempamerkan kekayaan serta kejayaan dalam pelbagai bidang perniagaan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Nordin berkata beliau tidak berniat dengki terhadap individu yang memperoleh kekayaan hasil usaha sendiri, malah mengakui cabaran yang perlu dilalui golongan usahawan untuk mendapatkan pelanggan, membayar gaji pekerja dan bertahan ketika perniagaan berdepan kemerosotan.

Namun, beliau mempersoalkan bagaimana terdapat individu yang dilihat mampu menceburi pelbagai sektor, termasuk pembalakan dan penternakan, dan pada masa sama berjaya dalam bidang berkenaan.

“Cuma tertanya-tanya, hebat sangatkah sesetengah orang ini sampai semua bidang dia boleh buat?

“Dari pembalakan sampai bela lembu. Semua masuk. Semua nampak menjadi,” katanya.

Menurut Nordin, pelbagai cerita yang didengar mengenai kekayaan seseorang tidak semestinya benar dan perkara lebih penting ialah persoalan mengenai sumber kekayaan berkenaan.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada kekayaan yang diperoleh berpunca daripada keupayaan mengurus perniagaan atau wujudnya kelebihan hasil kedudukan dan pengaruh.

“Sebab pandai cari pelanggan dengan pandai guna kedudukan, dua kemahiran yang jauh berbeza.

“Kalau guna kuasa untuk kaut keuntungan sendiri, jangan bungkus sebagai ‘kejayaan usahawan’,” katanya.

Nordin menegaskan bahawa kejayaan dalam perniagaan memerlukan usaha mendapatkan pelanggan dan memastikan kelangsungan operasi, selain berdepan cabaran untuk terus bertahan dalam keadaan sukar.

Dalam hantaran sama, beliau turut menyatakan bahawa jika kekayaan diperoleh melalui penyalahgunaan kuasa, perkara itu tidak seharusnya disamakan dengan kejayaan dalam bidang keusahawanan.

“Peniaga sebenar berpeluh mencari rezeki. Ada yang berpeluh mencari jalan untuk terus hidup.

“Kalau kekayaan datang daripada menyalahgunakan kuasa…Itu bukan meniaga. Itu menyakau,” katanya.

Bagaimanapun, Nordin tidak menamakan mana-mana individu atau memberikan butiran khusus mengenai pihak yang dirujuk dalam hantaran tersebut.

BBerkaitan

Latest articles