YTL AI Labs Lancar ILMUcode, Pelajar UM Terima Kredit RM300

KUALA LUMPUR: YTL AI Labs melancarkan ILMUcode, platform pengekodan kecerdasan buatan (AI) generasi baharu yang dibangunkan bagi memperluas akses rakyat Malaysia kepada teknologi pembangunan perisian termaju pada kos lebih rendah.

Platform berkenaan dilancarkan di Universiti Malaya (UM), semalam, dan disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

ILMUcode menggabungkan pembantu pengekodan AI berciri agentik dengan model ILMU-GLM-5.3 hasil kerjasama YTL AI Labs bersama syarikat teknologi AI, Z.ai.

Ia membolehkan pembangun, pelajar dan pengguna baharu mengendalikan pelbagai proses pembangunan perisian, termasuk menulis serta mengubah suai kod, mengesan masalah, memahami pangkalan kod kompleks dan membangunkan idea menjadi perisian berfungsi.

Malah, prestasi ILMUcode turut disenaraikan antara model pengekodan terkemuka dunia menerusi penanda aras Terminal-Bench 2.1 dan DeepSWE.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasa bakat teknologi tempatan, UM menjadi universiti pertama di Malaysia yang memperkenalkan platform itu kepada pelajarnya.

Menerusi inisiatif berkenaan, seramai 800 pelajar tahun pertama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UM akan menerima kredit RM100 sebulan selama tiga bulan, menjadikan keseluruhan peruntukan sehingga RM300 bagi setiap pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata, ILMUcode menggabungkan keupayaan AI tempatan dengan teknologi termaju dunia menerusi kerjasama strategik bersama syarikat seperti NVIDIA dan Z.ai.

Menurutnya, pembangunan platform itu juga mengekalkan kedaulatan infrastruktur AI bagi membolehkan rakyat Malaysia memanfaatkan teknologi berkenaan serta menyumbang kepada aspirasi negara menjadi sebuah negara AI.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Dato’ Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, akses kepada teknologi berkenaan akan membantu melahirkan generasi baharu pembangun teknologi dan memperkukuh bakat AI tempatan.

ILMUcode kini boleh diakses oleh pembangun, pelajar serta mereka yang berminat dalam bidang pembangunan perisian menerusi laman web ilmucode.ai.

Ia melengkapi portfolio produk AI YTL AI Labs yang turut merangkumi ILMUclaw, platform pembinaan ejen AI autonomi, dan ILMUchat, aplikasi AI perbualan yang tersedia di Apple App Store serta Google Play.

BBerkaitan

Latest articles