KUALA LUMPUR: Pemuda MCA menggesa ahli akademik, Prof Dr. Ridhuan Tee Abdullah supaya melepaskan kewarganegaraan Malaysia secara sukarela dan berhijrah sekiranya tidak mampu menerima hakikat kepelbagaian kaum serta agama yang menjadi tunjang keharmonian negara.
Gesaan keras itu disuarakan Timbalan Pengerusi Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan yang menyifatkan kenyataan dan tindakan Ridhuan sebagai berulang kali mencetuskan ketegangan, kebencian serta permusuhan antara kaum.
Malah, Chong secara sinis mencadangkan Ridhuan berpindah ke sebuah negara atau tempat yang dipenuhi kebencian, permusuhan dan konflik, yang menurutnya mungkin lebih sesuai dengan pemikiran ahli akademik berkenaan.
“Jika Ridhuan merasakan dia tidak mampu hidup di Malaysia yang aman, harmoni, pelbagai dan inklusif, dia tidak perlu terus membiarkan dirinya berada dalam kesusahan ini.
“Pemuda MCA menasihatkannya agar melepaskan kewarganegaraan Malaysia secara sukarela dan berhijrah,” katanya.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap kritikan Ridhuan yang mendakwa pemimpin kerajaan bersikap hipokrit dan sekadar ‘wayang’ ketika menghadiri majlis pengebumian isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Ridhuan, bekas pensyarah Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), sebelum ini mempersoalkan keikhlasan pihak yang didakwanya pernah meminggirkan Siti Hasmah ketika hayat Allahyarham, tetapi tampil menunjukkan simpati selepas kematiannya.
Mengulas lanjut, Chong mempersoalkan pemikiran Ridhuan yang didakwanya gemar mengaitkan pelbagai isu dengan sentimen perkauman dan agama sehingga mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
Beliau mendakwa kecenderungan itu bukan perkara baharu, sebaliknya dapat dilihat menerusi beberapa kenyataan kontroversi Ridhuan sebelum ini, termasuk isu penggunaan bahasa Melayu dalam majalah penerbangan Malaysia Airlines (MAS), gegantung sambutan Perayaan Hantu Lapar yang menggunakan tulisan Cina serta Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang pernah dilabel sebagai ‘produk komunisme’.
Menurut Chong, isu berkaitan bahasa, pendidikan dan identiti sepatutnya dibincangkan secara rasional tanpa dimanipulasi sehingga mencetuskan pertentangan antara kaum.
Beliau turut menegaskan bahawa majlis pengebumian dan suasana berkabung tidak seharusnya dijadikan ruang untuk membangkitkan permusuhan atau menyemarakkan kebencian.
“Sebagai seorang akademik yang mempunyai pengaruh sosial, Ridhuan sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan awam dan menghentikan pendekatan yang memecahbelahkan masyarakat serta mereka-reka permusuhan semata-mata untuk mengejar trafik web dan menunjuk-nunjuk.
“Dia patut berbuat demikian bukan sahaja demi rakyat Malaysia, tetapi juga demi kesejahteraan dan masa depan keturunannya sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Ridhuan dua hari lalu berhubung satu hantaran media sosial yang didakwa mengandungi perkataan menghina, menyindir serta memandang rendah masyarakat Cina.
Laporan itu antara lain membabitkan penggunaan istilah ‘ultra kiasu harbi’ oleh Ridhuan yang didakwa menyamakan tokoh politik bukan Islam sebagai musuh Islam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi turut menyokong kritikan Pemuda MCA terhadap Ridhuan dengan menyifatkan kenyataan ahli akademik itu sebagai tidak mencerminkan pemikiran seorang ilmuwan yang rasional dan beradab.
Najwan yang juga Ketua PKR Shah Alam berkata, pandangan yang berulang kali membangkitkan sentimen perkauman dan agama tidak sepatutnya mendapat tempat dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
“Kenyataan-kenyataan beliau langsung tidak mencerminkan mentaliti seorang ilmuwan dan penganut Islam yang rasional dan beradab.
“Saya tak faham Islam versi apa yang Ridhuan Tee anuti, saban hari menyemai kebencian dan menyeru perpecahan.
“Ajaran Islam sebenar tidak mengajar kita apa yang Ridhuan Tee ajar!” katanya.










