Shuhaily Sanggup Tanggung Akibat Demi Perubahan

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan beliau sanggup berdepan apa juga akibat, termasuk mempertaruhkan kedudukannya, demi memastikan perubahan dapat dilaksanakan dalam agensi itu.

Mengakui dirinya bukan individu yang sempurna, beliau berkata bersedia memikul tanggungjawab atas segala kekurangan dan menerima apa juga keputusan kerajaan berhubung insiden yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Menurutnya, setiap usaha membawa perubahan mempunyai harga tersendiri dan beliau tidak keberatan sekiranya dirinya terpaksa menanggung segala akibat daripada tindakan berkenaan.

“Saya tidak sempurna, hari ini saya berdiri di sini bersedia menanggung akibat.

“Seperti mana tuan-tuan selalu lihat dalam klip saya di media sosial, saya mengatakan saya tidak sempurna dan banyak kali saya katakan perkara itu. Hari ini saya berdiri di sini mengaku dan bertanggungjawab atas kekurangan itu.

“Justeru, apa juga keputusan mereka (kerajaan), saya terima kerana pada saya untuk mengubah sesuatu ia mempunyai harga dan sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, hari ini, ketika mengulas video tular memaparkan dirinya memarahi dua individu yang dikatakan anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas lanjut mengenai insiden berkenaan, Mohd Shuhaily menjelaskan kejadian itu berlaku ketika beliau bersama pasukan menjalankan pemeriksaan terhadap individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket ‘ulat’ warga asing.

Katanya, pemeriksaan itu dilakukan selepas beliau dan pasukan selesai memantau persiapan menjelang perlumbaan Formula 1 (F1) yang berlangsung hujung minggu ini.

Bagaimanapun, pemantauan terhadap kegiatan ‘ulat’ turut dilakukan susulan pihaknya menerima banyak aduan berhubung kegiatan berkenaan.

“Yang mana kebetulan pada masa dan saat itu, apa yang kami terima (aduan) berlaku di depan mata kami.

“Di situ, kita menahan seorang sindiket ulat warga asing dan kemudian membawanya ke bilik pemeriksaan bagasi milik Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC),” katanya.

BBerkaitan

Latest articles