Shuhaily Dakwa Ada Usaha Cemar Imej AKPS

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Shuhaily Mohd Zain, mendakwa terdapat usaha pihak tertentu untuk mencemarkan reputasi agensi itu serta nama baiknya susulan penularan video insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu.

Beliau berkata, dua laporan polis sudah dibuat terhadapnya berhubung kejadian pada 28 September lalu, sebelum beliau bersama pasukannya mengambil tindakan membuat laporan polis balas bagi membolehkan perkara itu disiasat.

Menurutnya, laporan berkenaan dibuat selepas mengambil kira kemungkinan wujud tindakan terancang untuk memburukkan imej AKPS dan dirinya menerusi penyebaran rakaman insiden terbabit.

“Saya dan pasukan saya setelah berbincang, terpaksa membuat satu laporan polis untuk mengatakan bahawa ada usaha mungkin untuk mencemar nama atau imej AKPS secara amnya dan khususnya nama saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat AKPS, hari ini.

Mengulas kronologi kejadian, Shuhaily berkata, insiden itu berlaku ketika beliau bersama beberapa pegawai sedang menjalankan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan AKPS menjelang perlumbaan Formula 1 (F1).

Dalam lawatan sama, beliau turut mengetuai operasi penguatkuasaan secara terhad bagi membanteras kegiatan sindiket ‘ulat’ membabitkan warga asing.

Katanya, ketika sesi temu bual dijalankan terhadap seorang warga asing yang ditahan, dua individu tidak dikenali tiba-tiba muncul dan dipercayai merakam kejadian berkenaan.

Tindakan pegawainya mendekati kedua-dua individu itu kemudian membawa kepada arahan supaya rakaman yang dibuat dipadamkan selepas mereka dibawa ke hadapan untuk diperiksa.

“Apabila didekati oleh pegawai saya dan bawa mereka ke depan dan melihat apa yang dirakam, arahan telah diberikan untuk mereka memadam,” katanya.

Bagaimanapun, Shuhaily memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan berlaku kekasaran atau sentuhan fizikal terhadap individu terbabit, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

Katanya, sebarang kenyataan lanjut berhubung dakwaan itu berisiko menimbulkan pertikaian antara pihak yang terlibat, sekali gus boleh mengganggu proses mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

“Saya tak mahu mengulas sama ada kontak tersebut berlaku ataupun tidak kerana nanti ia akan menjadi ‘my words against his word’… tak habis,” katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan seorang individu mirip Shuhaily dilihat memarahi seorang lelaki, selain memegang kepala individu berkenaan dalam keadaan yang mencetuskan perhatian dan pelbagai reaksi pengguna media sosial.

Turut tersebar salinan laporan polis oleh seorang individu yang mendakwa dirinya dikasari dalam kejadian itu, namun kesahihan dokumen berkenaan masih belum dapat disahkan.

BBerkaitan

Latest articles