​ILMUcode: Malaysia Bangunkan Model Bahasa Besar Sendiri Untuk Sektor Pengajian Tinggi

​KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan pembangunan modal insan dan memperkasakan pengajaran serta pembelajaran (PdP) menerusi pelancaran sistem berasaskan Model Bahasa Besar (LLM) tersendiri negara, ILMUcode.

​Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan kandungan maklumat dan ilmu yang diakses oleh pelajar tempatan berteraskan acuan serta acuan nilai negara sendiri.

​Menurut beliau, kebiasaannya sistem LLM yang diguna pakai ketika ini dipunyai dan dibangunkan oleh pihak luar dari negara asing.

​”Sistem LLM (ILMUcode) ini adalah hasil daripada ciptaan Malaysia dari segi kandungan dan pelbagai aspek lagi.

​”Maknanya, ia akan memberikan gambaran yang sebenar terhadap sesebuah negara, ilmu dan pengetahuan yang ada di negara kita,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pelancaran ILMUcode yang dibangunkan YTL AI Labs di Universiti Malaya (UM), di sini.

Turut hadir, Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UM, Dr Norisma Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun.

​Zambry menjelaskan, sistem tersebut direka khas untuk menyesuaikan dengan kepelbagaian bahasa dan loghat tempatan di Malaysia yang tidak dapat ditawarkan oleh platform luar.

​”Dia boleh menyesuaikan dengan keadaan kita dari segi bahasa, pelbagai bahasa dan dialek… bukan sahaja bahasa Melayu tetapi termasuk cara ekspresi dalam bahasa Melayu orang Kelantan dan sebagainya.

​”Begitu juga dengan bidang-bidang keilmuan lain dan disiplin yang dikumpulkan serta diletakkan dalam sistem ini,” jelas beliau.

​Tambah Zambry, projek berkenaan mendapat perhatian di peringkat kabinet yang meminta agar percubaan dan pelaksanaan sistem itu dinilai di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) dan KPT.

​Sehubungan itu, UM dipilih sebagai pemula bagi tempoh percubaan selama tiga bulan untuk menilai keberkesanan sistem berkenaan dalam kalangan pelajar.

​”Di peringkat KPT, khususnya di Universiti Malaya, kita berikan ruang untuk mencuba selama tiga bulan ini sebagai eksperimen atau percubaan kepada pelajar untuk memanfaatkannya,” katanya.

​Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai projek residensi siswa di UM, Zambry memberitahu, perincian lanjut mengenai perkara tersebut akan diumumkan kelak.

​”Itu merupakan satu lagi model bagaimana kita sedang berusaha sedapat mungkin untuk memastikan keperluan penginapan pelajar dapat diusahakan.

​”Perdana Menteri akan merasmikannya nanti kerana ia antara beberapa model pendekatan bagi menyegerakan penyediaan tempat penginapan pelajar,” katanya.

​Beliau menambah, keutamaan bagi kemudahan kediaman akan terus diberikan kepada pelajar daripada golongan B40 dan mereka yang memerlukan.

BBerkaitan

Latest articles