AKPS Jelaskan Video Tular Ketua Pengarah Di KLIA, Dakwa Dua Individu Rakam Tanpa Kebenaran

PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan video tular membabitkan Ketua Pengarahnya, CP Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 adalah rakaman sebenar yang dipetik daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV).

AKPS dalam kenyataan hari ini berkata, insiden berkenaan berlaku pada 28 September lalu ketika Mohd Shuhaily mengadakan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi agensi itu di KLIA sempena ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.

Menurut AKPS, dalam tinjauan berkenaan, Ketua Pengarahnya bersama pasukan operasi turut menjalankan aktiviti penguatkuasaan terhadap individu warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan “ulat” di sekitar KLIA.

Operasi itu dilaksanakan susulan aduan dan dakwaan orang ramai mengenai peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang dan kontraban hampir setiap hari di KLIA.

AKPS berkata, operasi berkenaan merupakan aktiviti penguatkuasaan pertama dilaksanakan bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA dan dilakukan secara menyeluruh serta konsisten.

Susulan operasi itu, seorang warga asing dikenal pasti sebelum dibawa ke ruangan bagasi untuk pemeriksaan lanjut.

AKPS menegaskan proses pemeriksaan dan temu bual ketika itu hanya melibatkan pasukan operasi AKPS bersama AVSEC KLIA dan tidak membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain.

Menurut agensi itu, dua individu lain yang bukan sebahagian daripada pasukan operasi kemudian memasuki ruangan bagasi berkenaan tanpa disedari pegawai.

Kedua-dua individu itu didakwa merakam sesi temu bual antara Ketua Pengarah AKPS dengan warga asing terbabit tanpa kebenaran menggunakan telefon bimbit masing-masing.

“Tindakan tersebut telah menimbulkan provokasi yang mana telah menjejaskan kewibawaan operasi serta individu yang terlibat secara langsung di dalam operasi tersebut,” menurut kenyataan itu.

AKPS berkata, kedua-dua individu berkenaan kemudian membuat laporan polis, masing-masing sehari dan dua hari selepas kejadian sebelum klip rakaman berkenaan tular di media sosial.

Susulan itu, Mohd Shuhaily turut membuat laporan polis berhubung tohmahan, rakaman serta penyebaran video terbabit bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk mengenai bagaimana rakaman itu diperoleh dan disebarkan.

AKPS turut mendakwa penyebaran rakaman berkenaan dipercayai mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi Mohd Shuhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS serta agensi berkenaan.

Agensi itu berkata pihaknya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Orang ramai turut diminta supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai.

BBerkaitan

Latest articles