KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi meraih lebih 112 kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diramalkan menjadi Perdana Menteri ke-11.
Unjuran itu dikemukakan penganalisis politik, Dr Ong Kian Ming, yang berkata gabungan BN-PN berkemungkinan membentuk kerajaan bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya kedua-dua blok berkenaan mencapai majoriti mudah di Semenanjung.
Menurut bekas Ahli Parlimen Bangi itu, meskipun Pas mungkin memenangi lebih banyak kerusi berbanding BN, sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak boleh membuka laluan kepada Zahid untuk menerajui kerajaan Persekutuan.
“Saya rasa naratif penyatuan ummah dan penyatuan Melayu-Islam ini adalah satu naratif yang akan membolehkan gelombang biru menjadi satu realiti pada PRU16.
“BN dan PN akan memenangi lebih daripada 112 kerusi Parlimen di Semenanjung dan mereka akan membentuk kerajaan bersama GPS dan GRS.
“Pada masa sama, Zahid akan menjadi perdana menteri ke-11,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Ong berkata, kemungkinan Zahid dipilih sebagai Perdana Menteri turut berkait dengan pengalaman politik selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021 ketika beliau merupakan Naib Presiden UMNO.
Beliau merujuk kepada timbulnya persoalan mengenai hierarki kuasa ketika itu, termasuk isu sama ada Presiden UMNO boleh mengatasi kedudukan Perdana Menteri.
Justeru, menurut Ong, pengalaman berkenaan mungkin mendorong gabungan politik terbabit memilih Zahid bagi mengelakkan pertikaian sama berulang sekiranya BN dan PN membentuk kerajaan selepas PRU16.
Dalam masa sama, Ong menjangkakan Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi pembangkang dan hanya mampu mempertahankan sekitar 40 hingga 50 kerusi Parlimen, berbanding 76 kerusi yang dimilikinya ketika ini.
Beliau turut membuat unjuran lebih besar terhadap Selangor dengan mendakwa kerajaan negeri yang diterajui PH sejak 2008 berkemungkinan turut terjejas sekiranya berlaku perubahan sokongan politik pada PRU16.
Dalam perkembangan berkaitan, Ong menjangkakan BN tidak akan mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, walaupun parti itu sebelum ini menyatakan hasrat berbuat demikian.
Beliau menjangkakan sekurang-kurangnya empat kerusi berkenaan boleh diberikan kepada PN sebagai sebahagian daripada pertukaran dalam rundingan pembahagian kerusi bagi PRU16.
Sebagai timbal balas, BN berpotensi memperoleh beberapa kerusi yang kini dikuasai Pas di negeri-negeri yang menjadi kubu kuat parti itu, termasuk Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Bagaimanapun, Ong mengakui pembahagian kerusi boleh menjadi antara cabaran terbesar dalam usaha membentuk kerjasama BN-PN, khususnya jika PN menuntut jumlah kerusi lebih besar daripada yang sanggup diberikan BN.
Isu pembahagian kerusi sememangnya menjadi antara perkara utama yang perlu dirundingkan sekiranya kerjasama BN-PN diteruskan. Perkembangan terkini berkaitan PRN Melaka turut menunjukkan angka kerusi yang disebut sebelum rundingan rasmi masih belum muktamad dan boleh berubah mengikut persetujuan kedua-dua pihak.
Ong pada masa sama tidak menjangkakan BN mempunyai sokongan mencukupi ketika ini untuk mendesak PRU16 diadakan lebih awal.
Bagaimanapun, beliau melihat kemungkinan landskap politik berubah selepas pembentangan Belanjawan 2027 bulan depan, termasuk jika GPS dan GRS menjadi lebih terbuka untuk menerima tawaran kerjasama daripada BN.
Menurutnya, perubahan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan boleh membuka ruang kepada pembubaran Parlimen dan seterusnya membawa kepada PRU16 lebih awal.
BN sebelum ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya PRU16 diadakan lebih awal, terutama susulan ketegangan hubungan politik dengan PH serta perkembangan selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan.
PN turut menyokong gesaan berkenaan, termasuk selepas kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan menyaksikan kedua-dua blok memperoleh majoriti kukuh dalam pembentukan kerajaan negeri.
Namun, Anwar menolak desakan supaya PRU16 diadakan dalam masa terdekat dengan menegaskan kerajaan masih stabil, selain keutamaan pentadbiran ketika ini adalah meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengurus ekonomi negara.










