Ikut Logik Peguam Negara, Agong Juga Boleh Pecat Menteri Tanpa Nasihat PM – Hasnal

KUALA LUMPUR: Tafsiran undang-undang berhubung pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan terus dipersoalkan apabila peguam Datuk Hasnal Rezua Merican berhujah, logik sama jika diterapkan di peringkat Persekutuan boleh membawa kepada kesimpulan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh menamatkan khidmat seseorang menteri tanpa nasihat Perdana Menteri.

Hasnal membuat perbandingan antara Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan dengan Fasal 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), yang masing-masing menyentuh kedudukan anggota Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menurutnya, bahasa yang digunakan dalam kedua-dua peruntukan itu pada asasnya adalah sama dan oleh itu, beliau berhujah operasinya juga sepatutnya ditafsirkan secara konsisten.

“Bahasanya sama. Maka operasinya sama,” katanya.

Hasnal berkata, sekiranya pada hemat Peguam Negara pembatalan pelantikan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri oleh Yang di-Pertuan Besar tanpa nasihat Menteri Besar adalah sah berdasarkan Fasal 38(5), tafsiran sama menurutnya akan membawa implikasi terhadap kuasa YDPA di peringkat Persekutuan.

“Jika pada hemat Peguam Negara pembatalan pelantikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang dibuat oleh YDP tanpa nasihat MB adalah sah menurut Fasal 38(5), maka menurut tafsiran yang sama YDPA boleh menamatkan khidmat mana-mana Menteri tanpa nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Beliau mendakwa tafsiran sedemikian akan membawa satu implikasi besar terhadap amalan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan di negara ini.

“Di dalam sejarah Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan oleh Persekutuan Malaysia, inilah kali pertama Peguam Negara membuat tafsiran YDPA boleh memecat Menteri secara terus,” katanya.

Hasnal kemudian secara sinis berkata sekiranya tafsiran sedemikian diterima, kuasa berkenaan boleh sahaja digunakan terhadap menteri yang dianggap tidak berfungsi atau tidak disenangi rakyat.

“Syabas! Dah alang-alang boleh, harapnya YDPA pecat je lah Menteri-Menteri yang tak berfungsi, yang dibenci Rakyat, yang melucukan dan yang punya sejarah biadab kepada Raja-Raja Melayu,” katanya.

Hujah terbaharu Hasnal muncul selepas beliau sebelum ini mempertikaikan kesahan pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan dan berpandangan Fasal 38(5) tidak seharusnya dibaca secara berasingan daripada peruntukan lain berkaitan pelaksanaan kuasa eksekutif negeri.

Bagaimanapun, dari sudut kedudukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(5) secara khusus memperuntukkan mekanisme pembatalan pelantikan seseorang menteri oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara mengenai mekanisme itu pernah menjadi isu dalam litigasi berkaitan penamatan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1998. Dalam prosiding berkenaan, persoalan sama ada pembatalan pelantikan perlu dilaksanakan oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri menjadi antara isu yang dihujahkan.e

Amalan itu turut dapat dilihat ketika krisis politik Persekutuan pada Februari 2020 apabila pelantikan semua anggota Kabinet dibatalkan oleh YDPA susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Kenyataan rasmi ketika itu menyebut pembatalan tersebut dibuat atas nasihat Perdana Menteri selaras dengan Perkara 43(5).

Pertikaian semasa di Negeri Sembilan dengan itu bukan sekadar mengenai frasa seseorang Exco memegang jawatan selama diperkenankan Raja, tetapi turut melibatkan persoalan lebih luas sama ada kuasa menamatkan pelantikan itu merupakan kuasa budi bicara Raja atau perlu dilaksanakan mengikut nasihat ketua kerajaan.

Isu berkenaan kini menjadi antara persoalan utama dalam kemelut perlembagaan Negeri Sembilan susulan pembatalan pelantikan 10 Exco berkuat kuasa 20 September lalu.

BBerkaitan

Latest articles