PM Beri Amanah Alumni UiTM Nilai Agensi Bumiputera

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amanah kepada komuniti alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk memilih antara tujuh hingga 10 wakil dalam kalangan mereka bagi menilai serta membimbing pelaksanaan program utama agensi Bumiputera.

Beliau berkata, langkah tersebut bertujuan membolehkan kekuatan dan kelemahan pelbagai agensi Bumiputera, termasuk UiTM sendiri, dinilai secara terus oleh golongan profesional serta pakar pelbagai disiplin tanpa terikat dengan birokrasi kerajaan.

“Pilih 7 hingga 10 orang daripada alumni… saya memberi jaminan hari ini untuk membuktikan keseriusan kita, saya akan beri seluruh peluang dan laluan untuk saudara menilai setiap program utama agensi Bumiputera termasuk UiTM supaya dapat diperbaiki dan ditingkatkan.

“Belum pernah dalam sejarah negara ini sejak merdeka, kerajaan memberi amanah secara langsung kepada mana-mana alumni untuk menilai prestasi, peranan, disiplin yang harus dikemukakan serta fakulti yang perlu dikembangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Mesra Alumni UiTM Bersama Perdana Menteri Sempena Ulang Tahun Ke-70 UiTM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa Kerajaan Madani sentiasa komited mempertahankan hak dan memperkasa pembangunan sosioekonomi, pendidikan serta kebajikan Bumiputera.

Jelas beliau, peruntukan pengurusan dan pembangunan untuk UiTM terus mencatatkan peningkatan ketara berbanding kurang RM2 bilion sebelum ini, di mana peruntukan bagi tahun 2026 melonjak kepada RM3.08 bilion.

“Sebab itu saya nak buktikan dalam Kerajaan Madani, perhatian kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, sosial, serta pendidikan Bumiputera jauh lebih tinggi daripada mana-mana pemerintahan sebelum ini.

“Bedanya, saya lebih keras dalam memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan kepada agensi Melayu dan Bumiputera tidak boleh dikhianati dan disakau oleh sesiapa,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh mengenai isu kebajikan mahasiswa yang menuntut perhatian serius, khususnya membabitkan pelajar kurang berkemampuan yang berdepan kesukaran hidup.

Beliau mengarahkan pihak pengurusan universiti dan Naib Canselor untuk memastikan kebajikan asas mahasiswa sentiasa terjamin supaya tidak ada lagi pelajar yang tertekan akibat masalah kelaparan atau kekangan kewangan semasa menuntut ilmu.

BBerkaitan

Latest articles