SHAH ALAM: Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jalan Othman, Petaling Jaya secara rasminya diisytiharkan sebagai Kampus UiTM Tun Arshad Ayob.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Himpunan Mesra Alumni UiTM Bersama Perdana Menteri bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-70 UiTM di sini hari ini.
Anwar berkata, penjenamaan semula kampus berkenaan adalah bagi mengenang jasa serta sumbangan Allahyarham Tun Arshad Ayob yang merupakan pengasas dan pendorong utama dalam memartabatkan pendidikan anak-anak Melayu serta Bumiputera menerusi penubuhan Institut Teknologi MARA (ITM) suatu ketika dahulu.
”Sebagai permulaan dan sesuai dengan pengumuman ini, saya meluluskan segera peruntukan RM2.5 juta untuk Kampus Jalan Othman,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Mengimbas kembali kenangan beliau, Anwar menyifatkan dirinya sebagai ‘alumni bersekutu’ UiTM kerana pernah menghabiskan masa selama tiga tahun di Kampus Jalan Othman ketika memimpin Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
”Tun Arshad Ayob memberi ruang di pejabat Persatuan Pelajar ITM di Jalan Othman, maka saya saban hari ke sana selama tiga tahun.
”Mengetengahkan jasa pimpinan terdahulu bukan sekadar nostalgia, tetapi seperti kata pemikir Roger Garaudy; ‘not to bury the ashes of the dead, but to rekindle its flame’.
“Kita perlu menyemarakkan semula api perjuangan dan seruan mereka,” jelas beliau.
Anwar turut menegaskan bahawa kejayaan UiTM sebagai ejen mobiliti sosial paling berhasil di negara ini adalah hasil ketegasan, disiplin dan tata kelola baik yang diterapkan oleh pimpinan terdahulu seperti Tun Arshad Ayob.
Menurut beliau, nilai-nilai integriti dan tata kelola berkenaan perlu terus dipertahankan oleh generasi kini dalam menguruskan agensi serta institusi pendidikan Bumiputera.










