KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kematian seorang murid Tingkatan Dua di sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala polis sedang meneliti semua fakta dan bukti bagi mengenal pasti punca serta motif sebenar kejadian.
Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 8 malam di sebuah asrama sekolah sebelum mangsa, pelajar lelaki berusia 14 tahun, dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia.
“Polis memandang serius sebarang bentuk keganasan membabitkan pelajar, lebih-lebih lagi sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.
“Keutamaan kami adalah memastikan siasatan dijalankan secara profesional, menyeluruh dan berasaskan bukti bagi memastikan keadilan kepada semua pihak,” katanya.
Sebelum ini, keluarga mangsa mendakwa pelajar berkenaan dipukul ketika berada di asrama, namun dakwaan itu masih belum disahkan pihak polis.
Sehubungan itu, Alzafny menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan siasatan selain memberi kesan kepada privasi keluarga mangsa.
Beliau turut menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.










