Amir Hariri, Dobby Chew Ditahan Polis Di Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Pertubuhan MANDIRI dan HAYAT mengecam keras tindakan pihak berkuasa menahan Pengarah Eksekutif MANDIRI, Amir Hariri Abd Hadi serta Ketua Pegawai Eksekutif HAYAT, Dobby Chew, selepas selesai memberikan keterangan di Unit AMLA, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Menurut kenyataan bersama pertubuhan berkenaan, penahanan itu disifatkan sebagai satu bentuk tekanan berterusan terhadap usaha mereka dalam menyuarakan isu korupsi susulan dakwaan berkaitan korporat mafia pada Januari lalu.

“Segala kerjasama yang telah diberikan sehingga sekarang membuktikan kesediaan mereka memberikan kerjasama, namun mereka masih ditangkap,” jelas kenyataan itu.

Pihak pertubuhan turut menegaskan bahawa tangkapan tersebut memperlihatkan unsur layanan dua darjat, terutamanya apabila pemimpin politik yang didakwa menyeleweng ratusan juta ringgit hanya disiasat tanpa perlu ditahan, manakala individu yang dikaitkan dengan dakwaan korporat mafia masih belum dibawa ke muka pengadilan.

Mengimbas kembali kronologi kejadian, Amir Hariri dan Dobby Chew telah hadir memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis termasuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 14 September serta ke unit AMLA pada 17 September bagi mendapatkan asas pembekuan akaun bank dan sekatan perjalanan mereka.

“Semasa serbuan ke atas pejabat MANDIRI dan HAYAT pada 18 September, pihak polis turut diberikan kerjasama penuh dengan penyerahan dokumen yang diminta.

“Pada 21 September, pihak polis telah menyerahkan notis berkaitan pembekuan akaun serta arahan untuk hadir memberikan keterangan pada 22 September.

“Walaupun hadir memberi keterangan dan pihak polis masih enggan memberikan pradikatan kesalahan, mereka akhirnya ditahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Penahanan ini jelas merupakan satu bentuk tekanan berterusan ke atas MANDIRI dan HAYAT di atas usaha-usaha kami dalam menyuarakan isu korupsi.

“Kami berdiri teguh di belakang rakan-rakan kami dan menuntut agar Amir dan Dobby dibebaskan dengan kadar segera,” tambah kenyataan itu lagi.

BBerkaitan

Latest articles