Siling Stesen Gurun Runtuh: RAC Ambil Tindakan Segera, Utamakan Keselamatan Pengguna

KUALA LUMPUR: Perbadanan Aset Keretapi (RAC) mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan pengguna susulan insiden sebahagian panel siling di kawasan laluan mengambil dan menurunkan penumpang (drop-off zone) Stesen Keretapi Gurun, Kedah, yang jatuh dan mengenai sebuah kenderaan pada Ahad lalu.

Kejadian yang berlaku pada pukul 11.30 pagi itu tidak melibatkan sebarang kecederaan, namun pemeriksaan awal mendapati kenderaan terbabit mengalami kerosakan kecil akibat terkena serpihan panel siling berkenaan.

Sejurus menerima maklumat mengenai insiden terbabit, RAC bersama pihak operator, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), bertindak pantas dengan menutup sementara kawasan terjejas, mengawal pergerakan kenderaan, serta memasang penghadang keselamatan.

Kerja-kerja pembersihan telah selesai dijalankan pada pukul 12.20 tengah hari pada hari yang sama, dan laluan tersebut dibuka semula selepas pemeriksaan mendapati kawasan itu selamat untuk dilalui.

Menurut pihak RAC, mereka turut menghubungi pemandu kenderaan yang terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut serta menyelaras penilaian kerosakan.

“RAC memberi perhatian sewajarnya terhadap kebajikan pihak yang terlibat, termasuk membantu menyelaras urusan berkaitan kerosakan dan tuntutan, tertakluk kepada hasil siasatan serta tatacara dan ketetapan yang berkuat kuasa,” jelas pihak pengurusan dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, RAC memaklumkan bahawa tindakan pembaikan segera telah diaktifkan di lokasi kejadian, manakala pemeriksaan teknikal terperinci akan dilaksanakan bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada insiden terbabit.

Sebagai langkah pencegahan, pemeriksaan keselamatan akan diperluaskan ke stesen-stesen kereta api lain yang mempunyai reka bentuk atau komponen kemudahan serupa berdasarkan penilaian teknikal dan risiko.

“RAC memandang serius kejadian ini dan menegaskan bahawa keselamatan pengguna sentiasa menjadi keutamaan dalam pengurusan, penyelenggaraan, dan pemantauan aset kereta api di bawah tanggungjawab kami,” tambah kenyataan itu lagi.

BBerkaitan

Latest articles