KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia menegaskan aspek keselamatan, kawalan, disiplin dan kebajikan penghuni sentiasa menjadi keutamaan dalam pengurusan institusi penjara di seluruh negara.
Penegasan itu dibuat susulan laporan media serta dakwaan yang menyentuh keadaan dan operasi di institusi penjara, termasuk dakwaan wujudnya hierarki dalam kalangan banduan berdasarkan faktor kewangan dan pengaruh.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Penjara berkata semua operasi di institusi penjara dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, merangkumi kawalan keselamatan, pemeriksaan, pemantauan serta tindakan terhadap sebarang pelanggaran peraturan.
Menurutnya, aktiviti perisikan, pemantauan dan semakan turut dijalankan secara berterusan bagi memastikan tahap keselamatan serta pematuhan peraturan sentiasa berada pada tahap ditetapkan.
“Langkah ini bagi mengenal pasti sebarang risiko, ancaman atau pelanggaran peraturan serta membolehkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan diambil sewajarnya.
“Tidak dinafikan bahawa salah laku atau kejadian terpencil boleh berlaku dalam mana-mana institusi, namun setiap kejadian yang dikenal pasti akan ditangani mengikut peraturan dan SOP berkuat kuasa serta berada di bawah kawalan pihak berkuasa penjara,” katanya.
Jabatan itu pada masa sama menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, aduan atau dakwaan berkaitan salah laku, pelanggaran undang-undang atau kemasukan barangan larangan ke institusi penjara supaya membuat laporan kepada polis atau melalui saluran rasmi.
Langkah itu penting bagi membolehkan setiap dakwaan disiasat dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu, media melaporkan Jabatan Penjara menafikan dakwaan selebriti, Yasin Sulaiman, bahawa kehidupan dalam penjara bergantung kepada wang dan pengaruh.
Yasin menerusi sebuah podcast mendakwa wujud hierarki dalam kalangan banduan yang dipengaruhi faktor kewangan dan pengaruh.










