‘Jangan Dahului Kepimpinan, Akur Sahaja’ – PAS Tegur Wawasan

​MELAKA: Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) dinasihatkan supaya tidak mendahului keputusan pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

​Memetik laporan Berita Harian, Yang Dipertua PAS Jasin, Datuk Kamaruddin Sedik berkata, sebagai anggota baharu yang menyertai gabungan PN, Wawasan Negara seharusnya menghormati proses rundingan dan menyerahkan segala keputusan pembahagian kerusi kepada kepemimpinan tertinggi.

​Beliau menegaskan bahawa setakat ini pengagihan kerusi dalam PN masih belum dibincangkan secara rasmi dan belum ada sebarang kata putus yang dimuktamadkan.

​”Wawasan Negara tak perlu ‘over’ dan mendahului keputusan yang bakal dibuat. Serahkan kepada pucuk kepemimpinan PN untuk membuat keputusan.

​”Sebenarnya, pengagihan kerusi masih belum dibincangkan pun dan sudah pasti belum ada kata putus,” katanya.

​Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Wawasan Negara, Tan Sri Rahim Tamby Chik yang membayangkan parti itu sedia bertanding solo di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sekiranya gagal mencapai persefahaman pengagihan kerusi bersama Barisan Nasional (BN).

​Rahim yang juga bekas Ketua Menteri Melaka turut menyatakan hasrat parti untuk bertanding di DUN Bemban dan DUN Sungai Udang, sama ada kerjasama BN-PN terwujud ataupun sebaliknya.

​Mengulas lanjut, Kamaruddin mengingatkan parti berkenaan agar sentiasa mematuhi mekanisme perbincangan dalaman yang teratur demi menjaga keharmonian gabungan.

​”Jangan mendahului pucuk kepemimpinan PN, sebagai anggota baharu, saya nasihatkan Wawasan Negara akur sahaja dengan keputusan yang bakal dibuat kelak,” katanya.

Hari ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa esok (23 September 2026) selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN.

BBerkaitan

Latest articles