DUN Melaka: Sidang Khas Ab Rauf Jam 2 Petang Cetus Spekulasi Pembubaran

MELAKA: Spekulasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semakin memuncak apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dijadual mengadakan sidang media khas petang ini.

Sidang media itu dijadualkan berlangsung di Auditorium Seri Negeri, Blok Laksamana, pada jam 2 petang, namun jemputan media tidak menyatakan agenda khusus yang akan diumumkan.

Perkembangan berkenaan menguatkan jangkaan bahawa Ab Rauf bakal mengumumkan sesuatu yang besar berkaitan kedudukan DUN negeri itu, khususnya selepas spekulasi pembubaran semakin hangat sejak beberapa hari lalu.

Lebih menarik perhatian, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang lazimnya berlangsung pada Rabu diawalkan kepada hari ini, Selasa, sebelum disusuli Mesyuarat Post-EXCO.

Sumber sebelum ini turut memaklumkan kesemua 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dipanggil hadir ke Seri Negeri pada jam 2.30 petang. Perkembangan itu menambah lagi tanda tanya mengenai agenda sebenar yang bakal diumumkan petang ini.

Beberapa laporan media turut menyebut Ab Rauf dijangka mengumumkan pembubaran DUN pada petang ini bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), namun setakat ini belum ada pengesahan rasmi mengenai pembubaran tersebut.

Jika pembubaran diumumkan, pilihan raya perlu diadakan bagi menentukan komposisi baharu DUN yang mempunyai 28 kerusi.

Pada pilihan raya negeri lalu, BN membentuk kerajaan selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Ab Rauf sebelum ini berkata tarikh pembubaran DUN masih belum ditetapkan dan memaklumkan beberapa urusan pentadbiran perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau pada 17 September lalu berkata tarikh yang sesuai akan diumumkan kepada media dan rakyat selepas ditetapkan.

BBerkaitan

Latest articles