SEREMBAN: Kemelut kedudukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan memasuki episod baharu apabila beberapa anggota EXCO tetap hadir ke pejabat dan menjalankan tugas seperti biasa hari ini.
Tindakan itu dibuat susulan pendirian Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bahawa barisan EXCO sedia ada masih sah untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing, walaupun Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebelum ini membatalkan pelantikan mereka berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Razali Abu Samah berkata beliau hadir ke pejabat seperti biasa pagi ini sebelum meneruskan beberapa urusan rasmi.
“Saya masuk ke pejabat seperti biasa pada pagi ini, tengah hari ada lawatan dan menziarahi kematian,” katanya ketika dihubungi.
Razali yang juga ADUN Sikamat berkata, beliau meneruskan tugasan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Sementara itu, pegawai kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Suhaimizan Bizar, mengesahkan ADUN Gemencheh itu turut meneruskan tugasnya di Wisma Negeri.
“Ya. YB akan masuk petang nanti, pagi ini beliau berada di kawasan,” katanya.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Ismail menegaskan tiada keperluan untuk mengemukakan senarai baharu EXCO kerana beliau menganggap barisan sedia ada masih mempunyai kedudukan yang sah.
Ismail sebelum ini berkata pendirian kerajaan negeri itu berasaskan tafsiran terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), khususnya berkaitan kuasa eksekutif dan kedudukan anggota EXCO.
Kemelut tercetus selepas Istana Negeri Sembilan mengumumkan pembatalan pelantikan semua anggota EXCO berkuat kuasa serta-merta pada 20 September.
Menurut kenyataan Istana, keputusan itu dibuat selepas Tuanku Muhriz mendapati anggota EXCO berkenaan telah memungkiri sumpah jawatan yang dilafazkan di hadapan baginda pada 7 Ogos lalu. Istana turut merujuk Perkara XXXVIII(5) UUTKNS 1959 yang menyatakan anggota EXCO, selain Menteri Besar, memegang jawatan selagi diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.
Dua ADUN yang juga anggota EXCO, Suhaimizan dan Mohd Fairuz Mohd Isa, sebelum ini mengesahkan menerima surat pemakluman mengenai pembatalan pelantikan masing-masing.
Namun, Ismail menegaskan kerajaan negeri tidak mengiktiraf keperluan untuk membentuk barisan EXCO baharu, sekali gus mewujudkan pertikaian terbuka mengenai tafsiran kuasa di bawah UUTKNS.
Perkembangan itu turut berlaku selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Tuanku Muhriz di Istana Negeri Sembilan di Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.
Pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu berlaku susulan perkembangan mengenai kedudukan EXCO Negeri Sembilan, namun tiada kenyataan rasmi mengenai butiran perbincangan tersebut.










