KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan pihaknya tidak menerima sebarang makluman mengenai penyelarasan syarat pemilikan ekuiti bagi institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Penegasan itu sekali gus menimbulkan persoalan berhubung kenyataan KPM sebelum ini yang menyebut keputusan menarik balik syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan IPS dibuat selepas sesi perbincangan dengan MITI.
MITI dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa perkara berkaitan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera sebenarnya berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.
“MITI berharap penjelasan ini dapat membantu memperbetul peranan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam perkara ini supaya maklumat yang disampaikan kepada pihak awam adalah tepat dan jelas,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan kenyataan media KPM semalam mengenai pemilikan ekuiti IPS.
KPM sebelum ini memaklumkan syarat sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah kementerian berkenaan.
Menurut KPM, penyelarasan itu dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan selain memastikan penyertaan dalam bidang berkenaan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.
Isu berkenaan tercetus susulan kebimbangan terhadap syarat pemilikan ekuiti Bumiputera yang dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS terbitan 2006, khususnya bagi IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad.
Dalam perkembangan berkaitan, KPM semalam memaklumkan cadangan semakan semula peraturan pemilikan pusat tuisyen akan dibawa ke Jemaah Menteri minggu depan susulan kebimbangan yang dibangkitkan berhubung syarat pegangan ekuiti 30 peratus Bumiputera.
Sabtu lalu, Pengarah Strategik Kebangsaan MIC, Datuk C Sivaraj turut menggesa KPM memberikan penjelasan mengenai cadangan syarat berkenaan.
Beliau berpandangan usaha meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi tidak seharusnya dilaksanakan dengan mengenakan syarat lesen, keputusan atau peraturan pentadbiran yang menurutnya boleh menjejaskan hak serta ekuiti masyarakat bukan Bumiputera.
KPM dalam kenyataan sebelum ini bagaimanapun menegaskan pihaknya menghargai sumbangan semua pengusaha IPS dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia.










